Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk
Wira Abu Seman Yusop berkata, GTP 2 merupakan kesinambungan daripada GTP 1 yang
dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan
jenayah.
Abu Seman berkata pengurangan indeks
jenayah di bawah GTP 1 pada tahun lalu, berjaya melepasi sasaran iaitu 7.6
peratus berbanding sasaran 5 peratus manakala pengurangan jenayah jalanan
sebanyak 41.3 peratus pula menghampiri sasaran 45 peratus.
“Daripada segi angka, penurunan ini
membuktikan bahawa kita berjaya merealisasikan matlamat untuk mengurangkan
kadar jenayah, bagaimanapun timbul persepsi yang mengatakan jenayah tidak
berkurangan dan keadaan (dalam negara) kononnya tidak selamat.
Abu Seman berkata menerusi GTP 2 yang
bermula tahun ini sehingga 2015, Kedah dan Perak dijadikan sebagai negeri
‘hotspot’.
“Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud
kedua-dua negeri ini mempunyai indeks jenayah yang tinggi sebaliknya kerajaan
ingin memperluaskan kejayaan mengurangkan jenayah, demi keselamatan dan
kesejahteraan rakyat di negeri-negeri ini.
“Sasaran NKRA mengurangkan jenayah
yang ditetapkan pada tahun ini ialah pengurangan indeks jenayah sebanyak lima
peratus, meningkatkan persepsi keselamatan (60 peratus), mengurangkan kejadian
pecah rumah (lima peratus), meningkatkan pendakwaan kertas siasatan yang dibuka
(35 peratus), dan meningkatkan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan Polis
Diraja Malaysia (80 peratus),” katanya.
Sementara itu, Abu Seman berkata GTP
2 akan turut memberi tumpuan terhadap kerjasama antara pasukan keselamatan
seperti polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia
(Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), serta masyarakat setempat.
Katanya kerajaan juga akan menambah
anggota keselamatan dan pada masa yang sama turut melibatkan masyarakat dan
badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan rondaan di kawasan kediaman
masing-masing.
“Kita percaya, dengan wujudnya
keakraban antara anggota keselamatan dan masyarakat, ia boleh memberi satu
kesan positif, malah dengan kehadiran anggota polis di merata-rata tempat,
penjenayah akan berfikir dua kali sebelum melakukan jenayah,” katanya. –
Bernama/The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment