KUALA LUMPUR: Parlimen mesti
dibubarkan pada minggu ini sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan
pada Mac depan.
Sumber berkata, PRU-13 mungkin
diadakan pada bulan April walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
amat gigih untuk memastikan segalanya diselesaikan pada hujung Mac.
Sumber ahli parti berkata, tiga
perkara penting yang sedang dilaksanakan dan memerlukan masa seminggu atau dua
minggu untuk diselesaikan sebelum Najib boleh bertemu dengan Yang di-Pertuan
Agong bagi mendapat perkenan untuk membubarkan Parlimen.
Beliau mengenal pasti tiga perkara
yang belum selesai seperti manifesto Barisan Nasional (BN), senarai calon dan
persiapan menyeluruh parti itu.
Difahamkan terdapat beberapa
manifesto BN pada pilihan raya kali ini iaitu yang utama bagi negara, satu
untuk wanita dan lain-lain untuk golongan muda.
Beberapa negeri penting yang cuba
dirampas semula oleh BN turut mempunyai kertas kerja tersendiri yang masih
menunggu kelulusan dari Najib.
Bagi senarai calon, Najib menghadapi
kesukaran untuk melantik calon Menteri Besar untuk Kedah dan Selangor yang cuba
dirampas semula BN.
"Tanpa nama calon MB yang
dicadangkan sebelum pilihan raya, Najib akan berdepan kesukaran untuk
meyakinkan pengundi bahawa BN serius untuk menawan kembali negeri itu,"
kata sumber lagi.
Ibu Pejabat BN hanya mula mengedarkan
sepanduk, bunting, beberapa komputer dan peralatan sokongan lain pada minggu
ini dan ia mengambil masa selama seminggu untuk diserahkan ke peringkat akar
umbi.
Dua hari lalu, Najib berada di
Singapura untuk menarik minat pelabur utama ke Johor.
Beliau akan berlepas ke Sarawak pada
Rabu hingga Jumaat ini.
Pada Sabtu, beliau akan berada di
Kuala Terengganu sebelum berkunjung ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan keesokan
harinya.
Najib dijadualkan bertemu rakan
sejawatannya, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di Putrajaya untuk
membincangkan mengenai rancangan persempadanan bersama pada 28 Februari ini.
Ini bermaksud ia merupakan tempoh
terakhir untuk Najib mengkaji semula isu penting iaitu pada minggu depan,
menyebabkan beliau hanya memiliki minggu pertama Mac untuk bertemu dengan Yang
di-Pertuan Agong.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
menegaskan pihaknya akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk
mengadakan pilihan raya dan hanya SPR yang boleh menentukan tarikh untuk
penamaan calon dan mengundi.
Pada kali ini seperti dijanjikan,
tempoh berkempen akan berlangsung sekurang-kurangnya 10 hari dan beberapa
laporan menyebut, ia mungkin dilanjutkan sehingga 14 hari terutamanya untuk
menyelesaikan undi pos untuk rakyat Malaysia di luar negara dan pasukan
keselamatan.
Beberapa pemimpin BN berkata Najib
ingin mengelak untuk mengadakan pilihan raya pada 29 Mac hingga 4 April.
Ini kerana, kata mereka, tarikh
tersebut jatuh pada cuti Good Friday (29 Mac) dan Easter (31 Mac) manakala Qing
Ming (4 April).
Memandangkan 4 April jatuh pada hari
Khamis, kebanyakan pengundi Cina memilih untuk membersihkan kubur nenek moyang
mereka sepanjang hujung minggu iaitu 6 dan 7 April.
Kebanyakan kaum Cina pulang ke
kampung halaman dan pilihan raya pada minggu tersebut mungkin tidak mendapat
sambutan. -mStar
No comments:
Post a Comment