KUCHING— Senator bebas Australia Nick
Xenophon ialah seorang yang berat sebelah, tidak profesional dan hanya memihak
kepada sebuah parti sahaja, justeru itu tidak layak menjadi pemerhati pilihan
raya, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd
Yusof.
Beliau berkata SPR pernah mengadakan
perbincangan dengan Xenophon atas jemputan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim, tetapi perkara yang ditimbulkannya sama seperti isu yang dibangkitkan
parti pembangkang.
"Jadi pemerhati patut bebas,
tidak berat sebelah, yang tidak betul tegur walaupun siapa buat salah...Bila
bias (dia) tidak dapat hendak jadi pemerhati yang adil dan saksama. Dia
mewakili parti politik tertentu, (untuk) jadi pemerhati tidak bolehlah
begitu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan
taklimat ulangan untuk 96 peserta terdiri daripada pegawai pengurus dan ketua
pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) Pilihan Raya Umum Ke-13.
Abdul Aziz berkata sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak perlu mengikut
telunjuk (individu dari) negara lain untuk melakukan sesuatu.
"Saya percaya negara dia pun
(Australia) tidak suka kalau Malaysia beritahu perdana menterinya supaya
melantik Malaysia jadi pemerhati atas sebab (kononnya) banyak perkara tidak
betul berlaku, itu maknanya kita sudah campur tangan dalam kedaulatan negara
lain," katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata
isu-isu yang cuba dibangkitkan Xenophon adalah isu yang sama yang disuarakan
oleh parti pembangkang.
"Untuk makluman, Timbalan
Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar pernah mengadakan perjumpaan dengan dia.
Pertanyaan serta keraguannya boleh dikatakan tidak berbeza langsung dengan
perkara-perkara yang selalu ditimbulkan parti politik (pembangkang), seratus
peratus serupa.
"Walaupun sama, kami tetap beri
penjelasan kepada mereka," katanya.
Menurutnya antara isu yang
dibangkitkan ialah persempadanan kawasan pilihan raya dan daftar pemilih.
"Saya sendiri pernah terangkan
isu itu kepada Duta Australia ke Malaysia...beliau faham dan mengatakan beliau
tidak bermaksud untuk campur tangan dalam sistem kita, tetapi cuma untuk
pemahaman beliau sahaja," katanya. — Bernama/Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment