JAMBATAN PERSAHABATAN DI SEMPADAN MALAYSIA - BRUNEI
LIMBANG: Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah
pada Ahad merasmikan Jambatan Persahabatan di sempadan Malaysia-Brunei di sini.
Upacara bersejarah dan membuktikan ikatan erat hubungan dua negara yang sudah lama terjalin diadakan di atas jambatan persahabatan itu di antara Bahagian Limbang Sarawak dan daerah Temburong Brunei.
Ia dimulakan dengan
pemimpin kedua-dua negara menandatangani plak diikuti memotong reben sebagai
simbolik perasmian.
Majlis ini merupakan
sebahagian aturcara Najib di Brunei hari ini sempena Rundingan Tahunan Pemimpin
ke-17 bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
Hadir sama Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib
Mahmud, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah
Yusof dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Fadillah berkata
jambatan itu disiapkan mengikut perancangan yang bermula dari peringkat
perbincangan sehinggalah menjadi realiti.
"Dengan
pembukaan Jambatan Persahabatan ini akan memudahkan perjalanan di antara
Bahagian Limbang Sarawak dan daerah Temburong Brunei, seterusnya merapatkan
hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei," katanya dalam perutusan
sekalung budi buku Majlis Perasmian Jambatan Persahabatan Di Antara Negara
Brunei dan Malaysia.
Beliau berharap
kerjasama dua hala antara kedua-dua negara akan dapat diteruskan pada masa akan
datang demi merapatkan ukhuwah dan hubungan persaudaraan yang telah terjalin
sekian lama.
Jambatan
persahabatan ini berukuran 189 meter panjang dan 14 meter lebar dengan kos
pembinaan berjumlah RM20.8 juta dibina merentasi Sungai Pandaruan.
Projek pembinaan ini
dikendalikan melalui perundingan Joint Project Team (JPT) dan Bridge Management
Committee (BMC), melibatkan lapan kali mesyuarat JPT serta tiga kali mesyuarat
BMC yang diadakan di Kuala Lumpur dan Brunei.
Upacara perasmian
tapak diadakan pada 13 September 2011, diikuti kerja pembinaan dimulakan pada
Mei 2012 dan siap pada November 2013. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment