KUALA
LUMPUR: Parlimen semalam sepakat meluluskan usul tergempar mengecam serangan
kejam Israel ke atas wilayah Palestin, di Gaza.
Seramai 10
Ahli Parlimen mewakili Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas yang
mengambil bahagian dalam perbahasan senada menyokong usul Datuk Seri Najib
Razak yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Persidangan
juga menerima 10 ketetapan, termasuk menzahirkan sokongan padu warga Malaysia
kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara merdeka dan
berdaulat.
Tindakan angkuh
Perdana
Menteri berkata, tindakan Israel melancarkan operasi ‘Pillar of Defence' sejak
14 November lalu melalui pengeboman dari udara, laut dan darat secara
besar-besaran di beratus kawasan Gaza adalah tindakan angkuh tanpa belas ihsan
terhadap warga Palestin.
“Sebagai
negara yang sekian lama lantang memperjuang rakyat Palestin, kita harus
bersepakat menjelaskan kepada dunia mengenai pendirian Malaysia terhadap
tindakan tidak berperikemanusiaan Rejim Zionis ke atas saudara kita di
Palestin, terutama di Gaza yang ketika ini dizalimi," katanya.
Najib
berkata, serangan Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi
manusia, kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB dan jenayah perang yang menyalahi
Konvensyen Keempat Geneva 1949 mengenai Perlindungan Orang-Orang Awam Dalam
Masa Perang.
Tolak keganasan
Katanya, rakyat
Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan bagi penggunaan
kekerasan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah
Palestin, sekali gus menolak hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin di Gaza.
"Rakyat
Malaysia sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat
antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB menghentikan serta merta
keganasan Israel," katanya.
Perdana
Menteri berkata, kerajaan tidak berputus asa, sebaliknya akan berusaha dan
bekerjasama dengan negara bersependapat untuk meminta Presiden Perhimpunan
Agung PBB mengadakan sidang tergempar berlandaskan Resolusi 377 A (V) 1950 -
`Uniting For Peace' jika Majlis Keselamatan PBB masih berdiam diri.
“Kementerian
Luar akan memastikan Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di New York terus
mengetengahkan perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai sebuah negara merdeka
dan berdaulat.
“Usul ini
ialah satu daripada cara Malaysia melaksanakan tanggungjawab sebagai negara
prihatin terhadap warga Palestin di Gaza yang ditindas oleh rejim Zionis
Israel,” katanya. -BHarian
No comments:
Post a Comment