PENCEROBOHAN LAHAD DATU: PM MINTA RAKYAT JANGAN PERCAYA KHABAR
ANGIN
KANGAR:
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat negara ini terutama di Sabah supaya
tidak mempercayai khabar angin bahawa keadaan keselamatan di negeri itu kini
dalam keadaan tidak terkawal berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu
dan kawasan berhampiran.
Perdana
Menteri berkata kejadian tembakan susulan pencerobohan itu hanya berlaku di
tiga tempat iaitu Lahad Datu, Semporna dan Kunak dan tidak berlaku di
tempat-tempat lain.
"Kalau
ada khabar angin ia adalah tidak berasas dan tidak berpandukan hakikat sebenar.
Rakyat Sabah terutamanya jangan rasa gementar atau takut akan keselamatan
mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Induk
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh, dekat sini, Ahad.
Beliau
berkata pihak keselamatan sedang menjalankan operasi mengikut keadaan dan
situasi semasa di ketiga-tiga kawasan tersebu.
"Berilah
peluang dan masa untuk mereka lakukan tindakan dan operasi untuk tumpaskan
kumpulan itu dan selamatkan pihak-pihak di sana," katanya.
Najib
berkata beliau yakin dan percaya akan kemampuan pasukan keselamatan negara apatah
lagi kini anggota keselamatan di sana telah ditambah.
"Anggota
polis telah ditambah. Tentera pun dah hantar dua batalion ke Sabah. Kita ada
kekuatan yang mencukupi untuk menghadapi apa jua keadaan," katanya.
Mengenai
insiden seorang pegawai dan empat anggota polis terkorban dalam serangan hendap
oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah
semalam, Najib berkata ia satu kejadian yang tidak diduga.
"Pasukan
kita dengan kekuatan 57 anggota. Mereka tak menduga kumpulan ini sanggup ambil
tindakan cukup ganas. Pasukan kita pergi ke sana untuk mencari maklumat untuk
gambaran lebih jelas," katanya.
Kejadian di
perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota
kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.
Jumaat
lepas, dua anggota polis komando VAT 69, ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan
Sabarudin Daud, 46, terkorban dan tiga lagi anggota polis cedera dalam
pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di
Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Dalam
kejadian itu, 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh. –BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment