BAGAN
SERAI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba
masanya kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh selepas
insiden pertumpahan darah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Beliau
berkata walaupun kerajaan berhati-hati dalam menangani isu itu pada peringkat
awal dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah, malangnya ia
tidak dihargai oleh mereka sehingga sanggup membunuh anggota pasukan
keselamatan negara.
"Sekarang
ini saya fikir tidak ada jalan lain melainkan kerajaan melancarkan serangan
balas supaya dapat dihapuskan sama sekali pasukan Sulu ini walaupun dengan
(tindakan) ini ramai mereka terbunuh, tapi ini tidak dapat dielakkan kerana
mereka yang menyerang Sabah, bukan kita yang menyerang mereka," katanya
kepada pemberita selepas memberi ucapan pada Himpunan Rakyat Perak anjuran
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, Ahad.
Katanya
tindakan keras yang diambil mungkin akan menyebabkan ramai daripada penceroboh
itu mati serta anggota keselamatan negara akan menjadi mangsa.
Pada
pendapatnya, insiden yang berlaku itu tidak akan tamat begitu sahaja kerana
pihak penceroboh boleh melakukan serangan-serangan hendap pada masa depan.
Kerajaan
diharap mengadakan persediaan awal menghadapi serangan berturut-turut pada masa
akan datang, terutama keperluan terhadap pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM) untuk mengawal dan menyekat bot-bot yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi
yang mungkin membawa pasukan penceroboh atau menyeludup senjata, katanya.
"Perkara
ini tidak boleh dipandang ringan walaupun pada mulanya kita ingat percubaan
mereka itu untuk menawan Sabah sebagai percubaan yang sia-sia tetapi kita tahu
mereka akan menjadi gerila dan akan melancarkan serangan pada masa depan,"
katanya.
Mengenai
ada pihak yang mempertikai tindakan kerajaan yang memberi kuasa kepada pasukan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak terlebih dahulu berbanding pasukan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung pencerobohan tersebut, Dr Mahathir
berkata negara mempunyai dua bahagian keselamatan.
"Kita
bahagi keselamatan kepada dua bahagian iaitu yang datang dari luar yang
biasanya tindakan diambil oleh tentera manakala yang berada di dalam negara
adalah tanggungjawab polis. Pada mulanya kita tidak anggap pencerobohan itu
sebagai serangan luar kerana mereka ini berada dalam wilayah kita,"
katanya.
Bagaimanapun,
apabila pencerobohan dan serangan kini jelas datang dari luar maka difahamkan
pihak tentera diarahkan untuk memgambil bahagian dalam tanggungjawab itu,
katanya.
Mengenai
dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan dilihat 'berlembut' dengan pihak
penceroboh terbabit, beliau berkata sememangnya kerajaan tidak mahu mengambil
tindakan sehingga membunuh kerana mereka juga mempunyai keluarga dan rakan
sebagai warganegara di Sabah.
"Sebab
itu kita berhati-hati bertindak begitu pada awalnya, lagipun mereka ini orang
Islam, kita orang Islam, kita tidak mahu tergesa-gesa, tetapi mereka tunjukkan
niat jahat dengan menembak dua anggota polis kita. Sekarang ini peristiwa ini
tidak boleh dianggap boleh diselesaikan dengan rundingan," katanya.
Mengenai
laporan media asing bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke Lahad Datu adalah
atas "jemputan" seorang ahli politik pembangkang, Dr Mahathir berkata
ahli politik itu menjanjikan banyak perkara bagi Sabah termasuk memberikan
kuasa autonomi jika pembangkang menang pilihan raya. -BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment