Kota Bharu:
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menegur pengurusan air oleh kerajaan negeri
dan diperintah segera menyelesaikannya bagi memastikan rakyat menikmati sumber
air bersih serta terjamin.
Baginda
meminta penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air disegerakan
seperti dipersetujui melalui kaedah pengambilalihan aset air oleh Pengurusan
Aset Air Berhad (PAAB).
“Beta
dimaklumkan pada dasarnya pihak berkuasa negeri sudah bersetuju dengan
penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Kelantan melalui kaedah
pengambilalihan aset air negeri oleh PAAB.
“Beta menggesa pihak terbabit supaya dapat
menyelesaikan segera perkara ini bagi memastikan rakyat diutamakan dan sumber
bekalan air yang berkualiti serta terjamin dapat dinikmati rakyat,” titah
baginda pada majlis Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke43, di Istana Balai
Besar, di sini semalam.
Turut hadir
Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr
Awang Adek Hussin.
Baginda
yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agung mengucapkan terima kasih kepada
Kerajaan Pusat yang selama ini dilihat tidak pernah meminggirkan Kelantan
daripada arus pembangunan.
“Beta
berharap satu rangkaian jalan raya bertaraf lebuh raya dapat dibina di negeri
ini seperti negeri di Pantai Barat atau negeri Pantai Timur lain bagi
merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kelantan
tidak harus dibiarkan ketinggalan kerana ia sebahagian daripada Malaysia,”
katanya.
Sultan
Muhammad juga mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak melihat pertanian
sebagai sektor mengaut keuntungan serta menjana ekonomi semata-mata.
“Beta
menyeru supaya semua pihak terbabit dalam sektor ini menjaga sumber asli
seperti tanah, sungai, laut serta kawasan tadahan hujan bagi memastikan alam
sekitar terus terpelihara.
“Langkah
ini bagi memastikan Kelantan terus subur dan berupaya mengeluarkan hasil yang
banyak serta berkualiti sepanjang masa,” titah baginda.
Baginda
juga menegur jentera pentadbiran kerajaan negeri supaya proaktif dalam
memperbaiki serta mempertingkatkan sistem sedia ada agar rakyat dapat menikmati
perkhidmatan bermutu dan terbaik.
“Semua
agensi perlu menjana idea baru bagi menghasilkan produk inovatif bagi
meningkatkan kecemerlangan dalam perkhidmatan, selain inisiatif sentiasa
dikemukakan supaya rakyat mendapat perkhidmatan terbaik,” titah baginda.
No comments:
Post a Comment