Showing posts with label Facebook. Show all posts
Showing posts with label Facebook. Show all posts

Tuesday, June 11, 2013

LAGU NEGARAKU PULA MANGSA PENGHINAAN

KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesan tindakan melampau pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Mohd Farizal dipercayai menyiarkan kata-kata penghinaan terhadap lagu kebangsaan negara, Negaraku.
Mohd Farizal dipercayai graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyiarkan lirik lagu kebangsaan yang diubah suai menggunakan perkataan lucah, menghina dan berbaur hasutan terhadap Raja dan keadaan negara ini.

Mohd Farizal dipercayai graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyiarkan lirik lagu kebangsaan yang diubah suai menggunakan perkataan lucah, menghina dan berbaur hasutan terhadap Raja dan keadaan negara ini.

Kesan identiti sebenar

BH difahamkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengesan identiti sebenar pemilik akaun terbabit.

Tulisan Mohd Farizal itu disiarkan semalam mendapat maklum balas negatif dan dikecam pengunjung laman berkenaan.

Cetus kemarahan

Sebelum ini, akhbar pada Ahad melaporkan, seorang pemegang akaun Facebook, menggunakan nama ‘Programmer Calvin Gani’ yang membuat penghinaan melampau terhadap Nabi Muhammad SAW.

Kelmarin, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenal pasti dan menyerahkan siasatan terhadap dua individu yang menghina Nabi Muhammad SAW melalui Facebook.

Dua akaun Facebook yang menggunakan nama Calvin Gani dan Rakyat Anarki mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan menghina Nabi.

Minggu lalu, seorang wanita pemilik akaun Facebook berusia 32 tahun ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan selepas didapati menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 1 Jun lalu. -BHarian

Monday, June 10, 2013


RED BEAN ARMY 'BOLEH HANCURKAN NEGARA'

KUALA LUMPUR - Fitnah dan hasutan berterusan yang disebarkan oleh Red Bean Army menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, kegiatan tentera siber pembangkang itu mesti dikekang demi menjaga kestabilan negara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Menurut beliau, aktivis Red Bean Army sengaja memainkan sentimen perkauman sempit semata-mata mahu mengapi-apikan kaum Cina bagi memburukkan- burukkan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan.

"Kita bimbang perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu boleh mengundang keadaan huru-hara sehingga menghancurkan negara.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis perlu bertindak tegas terhadap dalang-dalang di sebalik Red Bean Army dengan segera mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bukan sahaja untuk menyerang BN, malah sesiapa sahaja yang menyokong parti itu.

Pasukan berkenaan yang berpangkalan di sebuah hotel di ibu negara dan juga di pejabat Komtar, Pulau Pinang akan menyerang serta menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang bercakap buruk tentang DAP dan pakatan pembangkang.

Red Bean Army juga didakwa memainkan peranan memanipulasi sentimen kaum Cina untuk menolak calon-calon Melayu daripada BN yang bertanding dalam PRU-13 lalu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau mengetahui tentang kewujudan Red Bean Army walaupun pendedahan tentang tentera siber pembangkang itu dibuat oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun.

Tambah Razali, buat permulaan, kerajaan boleh mewajibkan permohonan lesen untuk pengendali blog bagi memudahkan tindakan diambil sekiranya mereka melanggar undang-undang negara.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim menyifatkan dakwaan Kit Siang kononnya tidak mengetahui tentang Red Bean Army sebagai strategi untuk melarikan diri daripada isu sebenar.

Menurut beliau, reaksi Kit Siang itu tidak menghairankan kerana pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang sering dilanda 'sindrom penafian'.

"Berdasarkan pengalaman saya di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dahulu, pakatan pembangkang memanipulasi media sosial sebagai saluran utama bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap BN dalam kalangan rakyat," katanya.

Ruslan turut menggesa pihak berkuasa membuktikan ketegasan dalam menangani ancaman Red Bean Army dan bukan sekadar memberikan amaran sahaja.

Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi memberitahu, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan amat berharap pihak berkuasa bertindak segera terhadap Red Bean Army.

"Kita hanya mampu mendesak tetapi pihak berkuasa sahaja yang boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan," jelasnya.

Beliau berpandangan, kegiatan Red Bean Army menyebarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi media sosial tidak sepatutnya dibiarkan berpanjangan.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, pihak berkuasa hendaklah mengesan identiti sebenar anggota-anggota Red Bean Army supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan atas fitnah dan hasutan yang disebarkan. –Utusan Online

IDENTITI INDIVIDU HINA NABI DIKENAL PASTI

KEMAMAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengenal pasti identiti dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W melalui laman sosial Facebook dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kementerian itu memandang serius kes penyalahgunaan Internet di negara ini, terutama membabitkan penyebaran fitnah dan hasutan yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat.

"Saya ingin mengingatkan setiap pengguna Internet di negara ini bahawa mereka tidak akan terlepas dari undang-undang, walaupun perlakuan atau penyataan mereka di laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog itu adalah atas dasar peribadi kerana ianya boleh mencetus provokasi di negara ini," katanya.

Beliau juga berkata kecanggihan teknologi membolehkan individu terbabit dikesan pihak berkuasa seperti kes-kes sebelum ini termasuk yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Jumaat lalu, dua akaun Facebook menggunakan nama 'Calvin Gani' dan 'Rakyat Anarki' mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan menghina nabi.

Ditanya kemungkinan Malaysia menyekat akses media sosial seperti Facebook, Ahmad Shabery berkata, langkah itu tidak perlu buat masa ini kerana medium berkenaan juga mempunyai kebaikan yang dapat dimanfaatkan banyak pihak.

"Kita tidak akan mengharamkannya hanya kerana tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab...cuma rakyat perlu tahu pihak berkuasa tidak akan berdiam diri jika mereka menyalahgunakan penggunaan laman media sosial.

"Tetapi saya tidak menolak kemungkinan itu andainya terdapat penggunaan secara negatif yang keterlaluan hingga mendatangkan rasa resah, gelisah dan kemarahan di kalangan rakyat.....mungkin ketika itu kerajaan perlu menerima pandangan dan desakan dari pelbagai pihak untuk melakukannya," katanya.


Antara negara yang mengharamkan akses Facebook ialah China, Vietnam, Syria, Iran, Pakistan, Korea Utara dan Uzbekistan. – BERNAMA/mStar