IDENTITI INDIVIDU HINA NABI DIKENAL PASTI
KEMAMAN:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengenal pasti identiti dua
individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W melalui laman sosial
Facebook dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menterinya,
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kementerian itu memandang serius kes
penyalahgunaan Internet di negara ini, terutama membabitkan penyebaran fitnah
dan hasutan yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat.
"Saya
ingin mengingatkan setiap pengguna Internet di negara ini bahawa mereka tidak
akan terlepas dari undang-undang, walaupun perlakuan atau penyataan mereka di
laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog itu adalah atas dasar
peribadi kerana ianya boleh mencetus provokasi di negara ini," katanya.
Beliau juga
berkata kecanggihan teknologi membolehkan individu terbabit dikesan pihak
berkuasa seperti kes-kes sebelum ini termasuk yang menghina Yang di-Pertuan
Agong.
Jumaat
lalu, dua akaun Facebook menggunakan nama 'Calvin
Gani' dan 'Rakyat Anarki'
mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan
menghina nabi.
Ditanya
kemungkinan Malaysia menyekat akses media sosial seperti Facebook, Ahmad
Shabery berkata, langkah itu tidak perlu buat masa ini kerana medium berkenaan
juga mempunyai kebaikan yang dapat dimanfaatkan banyak pihak.
"Kita
tidak akan mengharamkannya hanya kerana tindakan segelintir pihak yang tidak
bertanggungjawab...cuma rakyat perlu tahu pihak berkuasa tidak akan berdiam
diri jika mereka menyalahgunakan penggunaan laman media sosial.
"Tetapi
saya tidak menolak kemungkinan itu andainya terdapat penggunaan secara negatif
yang keterlaluan hingga mendatangkan rasa resah, gelisah dan kemarahan di kalangan
rakyat.....mungkin ketika itu kerajaan perlu menerima pandangan dan desakan
dari pelbagai pihak untuk melakukannya," katanya.
Antara
negara yang mengharamkan akses Facebook ialah China, Vietnam, Syria, Iran,
Pakistan, Korea Utara dan Uzbekistan. – BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment