KUALA
LUMPUR - Langkah kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat
sebagai memenuhi aku janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 mula menampakkan
hasilnya apabila 10 buah model kereta telah mencatatkan penurunan.
Bagi tempoh
Januari hingga Mei tahun ini, beberapa model kereta daripada jenama Peugeot,
Proton, Perodua, Volkswagen dan Honda masing-masing telah menyaksikan penurunan
harga untuk fasa pertama.
Petanda
awal positif ini jelas menunjukkan hasrat kerajaan menurunkan harga kereta
sebanyak 20 hingga 30 peratus secara berperingkat sehingga 2017 bukan satu
omongan kosong seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.
Sepuluh
model yang telah menurunkan tanda harganya di pasaran setakat ini ialah Peugeot
308 (11 peratus), Volkswagen Golf (7.1%), Viva (5.4%), Myvi (4%), Persona
(3.8%), Alza (3.4%), Preve (3%), Honda Jazz Hibrid (2.5%), Saga (1.1%) dan
Exora (0.7%).
Pelan
penurunan harga itu dilaksanakan dengan memberikan pengurangan duti eksais secara
berperingkat terhadap pengeluar kereta yang menggunakan lebih banyak komponen
tempatan.
Ketua
Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari
berkata, cara itu adalah lebih baik daripada memberikan pengurangan duti eksais
sekali gus atau secara mendadak.
Katanya,
walaupun duti eksais sekarang berada di tahap sekitar 65 hingga 105 peratus,
tetapi pada hakikatnya, jumlah duti eksais yang dibayar oleh pengeluar
kenderaan pemasangan tempatan (CKD) hanyalah sekitar 40 hingga 50 peratus.
Menurutnya,
pengeluar kenderaan CKD telah membuat aktiviti tambah nilai kepada komponen
tempatan dan mereka layak mendapat pengurangan duti.
"Bagi
kenderaan jenis diimport sepenuhnya (CBU) dari negara yang mempunyai FTA dengan
Malaysia, import duti juga telah dikurangkan.
"Sebagai
contoh kenderaan CBU dari negara-negara ASEAN telah pun menikmati insentif
bebas duti import bermula 2010 lagi, manakala CBU dari Jepun dan Australia juga
menikmati insentif sama secara berperingkat hingga 2016," katanya kepada
Utusan Malaysia.
Madani
berkata, kaedah pengurangan lain yang dirancang kerajaan adalah melalui
liberalisasi industri automotif tempatan dan kaedah tekanan pasaran.
"Dari
semasa ke semasa, pengeluar kenderaan, vendor bersama dengan kerajaan akan
membuat inisiatif untuk memperkasakan daya saing sektor automotif untuk
membantu mengurangkan kos operasi, sekali gus mempengaruhi harga akhir
produk," jelasnya.
Beliau
berkata, penurunan harga kereta di negara ini telah dilakukan tetapi kurang
dirasai rakyat kerana mereka mengharapkan penurunan yang drastik dan mungkin
beranggapan harga kereta tempatan boleh menjadi setara dengan harga di
Thailand.
Katanya,
kerajaan telah menerangkan bahawa penurunan harga kereta mestilah dibuat secara
berjadual dalam masa lima tahun kerana perlu melindungi nasib rakyat yang telah
memiliki kereta.
"Ini
penting, penurunan terlalu tinggi memberi impak negatif terhadap harga
kenderaan terpakai, kereta yang masih lagi berhutang dengan pihak bank,
industri kereta terpakai, institusi perbankan dan pihak lain yang terlibat
secara langsung.
"Penurunan
secara drastik juga akan merugikan semua orang terutamanya orang awam yang
telah mempunyai kenderaan dan mereka akan mendapat tamparan hebat kerana harga
kenderaan mereka akan mengalami penyusutan harga yang teruk.
"Bagi
pengguna yang masih berhutang dengan bank, sudah semestinya jumlah hutang
mereka akan melebihi nilai kereta disebabkan susut nilai pasaran semasa.
Situasi ini tidak baik untuk ekonomi negara," jelasnya.
Ditanya,
apakah faktor yang menyebabkan rakyat tidak merasai penurunan harga kereta,
beliau menjelaskan setiap pengeluar kenderaan mempunyai strategi pemasaran yang
berasingan.
"Pada
permulaannya, kebanyakan pengeluar membuat penurunan melalui rebat dan promosi
tetapi setengah pengeluar telah mengurangkan harga kereta secara mutlak.
"Harga
kereta dan penurunannya adalah tanggungjawab pengeluar kenderaan,"
tegasnya sambil menerangkan peranan kerajaan adalah merangka dasar yang memberi
pulangan yang baik kepada semua pihak.– Utusan Online
No comments:
Post a Comment