KUALA
LUMPUR - Mahasiswa di negara ini sudah layak bertanding merebut mana-mana
kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
Pensyarah
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek berpendapat,
dengan intelektual yang ada pada mahasiswa, sudah pasti dapat menjalankan
peranan sebagai pemimpin berwibawa.
Menurutnya,
mahasiswa juga dilihat memahami masalah yang berlaku tanpa mempunyai sikap
prejudis seperti beberapa pemimpin hari ini.
“Jika di
negara luar, perkara begini bukan baru, malah mendapat sokongan padu daripada
masyarakat dan sudah pasti kalangan universiti sendiri.
“Mereka
sudah dibekalkan dengan ilmu dan pada usia mereka yang masih muda, selayaknya
mereka memainkan peranan sebagai generasi baru mentadbir negara,” katanya
ketika dalam forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina
Selangor, di sini, malam kelmarin.
Katanya,
menyedari perkara itu bukan mustahil untuk direalisasikan dan berharap mendapat
kerjasama semua pihak.
“Jangan
pandang sebelah mata mahasiswa hari ini. Cuma, masalah akan timbul apabila
kesukaran mendapatkan wang deposit untuk bertanding.
“Jika ia
boleh dipertimbangkan, adalah lebih baik. Yang paling utama, mahasiswa perlu
berani bertanding di kawasan yang pasti kalah seperti Pekan, Permatang Pauh
atau Pagoh,” katanya.
Sementara
itu, bekas pensyarah UIAM, Profesor Dr Aziz Bari turut menyifatkan usia untuk
mengundi perlu diturunkan kepada 18 tahun.
“Kalau
dalam segi undang-undang, usia 18 tahun sudah dikenakan hukuman berat jika
melakukan kesalahan, mengapa pula mereka tidak boleh mengundi?
“Inilah
senario politik negara apabila pihak bertanggungjawab berada di bawah telunjuk
pemerintah,” katanya.
Katanya,
mahasiswa sekarang berbeza dengan sebelum ini kerana ideologi mereka sudah jauh
ke depan.
“Mereka
bukan lagi seperti zaman dulu yang hanya mengikut nota yang diberikan,
sebaliknya mentafsirkannya dan dapat memberi hujah baru.
“Ini yang kita perlukan dalam keadaan negara
membangun. Inilah golongan cendekiawan yang akan menentang berdasarkan hujah
dan fakta sahih,” katanya.
KD: Sebaiknya biarlah mahasiswa yang
bertanding itu tidak terlalu muda dan berfikiran matang.
No comments:
Post a Comment