ANWAR
ANGKAT SUMPAH DI PARLIMEN, PENYOKONG BERBARING DI JALAN RAYA
SELEPAS melakukan pelbagai propaganda,
hasutan, tohmahan dan fitnah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta
kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa berlaku penipuan dalam Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri
Anwar Ibrahim semalam mengetuai pakatan pembangkang mengangkat sumpah sebagai
Ahli Parlimen.
Anwar dan sekutu-sekutunya dilaporkan
berbuat demikian kira-kira sejam selepas polis menahan sekumpulan 200 peserta
perhimpunan haram yang bertindak ganas merempuh kawalan polis yang mengawal perkarangan
Bangunan Parlimen.
Tindakan ganas itu dilakukan oleh
saki-baki kumpulan yang sebelum ini menyertai perhimpunan haram di Padang
Merbok yang berpunca daripada seruan Anwar supaya rakyat turun beramai-ramai ke
perhimpunan berkenaan bagi membantah keputusan PRU-13.
Ternyata, peserta-peserta berkenaan yang
ada antara mereka 'berkampung' di dalam khemah di Padang Merbok sejak Sabtu
lalu telah diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.
Segala susah-payah mereka dalam
perjuangan sia-sia itu tidak membawa apa-apa makna kerana Anwar dan
pemimpin-pemimpin pembangkang tetap mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Kalau benarlah pemimpin pembangkang
mendakwa pilihan raya umum lalu penuh kepincangan dan penipuan, kenapakah
mereka mahu mengiktiraf keputusan yang berpihak kepada mereka tetapi menolak
kemenangan yang menyebelahi BN?
Sepatutnya sama ada perhimpunan haram
atau keganasan di hadapan bangunan Parlimen tersebut tidak akan berlaku, jika
Anwar berjiwa besar untuk menasihatkan penyokong-penyokong supaya menghormati
proses melakukan bantahan iaitu melalui petisyen kepada mahkamah.
Namun malangnya, Anwar tidak berbuat
demikian, beliau seolah-olah bangga apabila ramai anak muda yang terpengaruh
dengan dakyah beliau khususnya kelompok yang bergabung dalam Solidariti Anak
Muda Malaysia (SAMM).
Dengan jumlah kehadiran di Padang Merbok
tidak mencapai sasaran pakatan pembangkang, ia sepatutnya memberikan kesedaran
kepada Anwar bahawa perjuangan beliau melakukan politik jalanan tidak akan
berhasil. Mana mungkin kalau setakat 200 orang yang berkumpul di hadapan
Bangunan Parlimen akan mampu melunturkan semangat perjuangan pegawai-pegawai
SPR.
Bagaimanapun, apa yang kita saksikan,
Anwar terus memberi galakan kepada kumpulan berkenaan untuk melakukan bantahan.
Ketika kelompok itu menyusahkan diri sendiri dan mungkin juga menunjukkan
kebodohan mereka dengan tidur dalam keadaan berjerebu, Anwar dan
pemimpin-pemimpin pembangkang lain selesa berada di kediaman masing-masing
membuat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Setakat melahirkan penghargaan kepada
perjuangan kelompok itu, ia tidak membawa makna apa-apa. Sepatutnya kalau Anwar
dan pemimpin-pemimpin pembangkang benar-benar bertekad bahawa berlaku penipuan
dalam PRU-13, mereka juga akan bersama-sama kumpulan itu yang antara lain
mahukan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak mengangkat sumpah.
Jelaslah, Anwar dan pemimpin-pemimpin
pembangkang yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, semalam menunjukkan
sikap hipokrit pada tahap paling tinggi yang tidak mungkin ada kepada mana-mana
Ahli Parlimen di seluruh dunia.
Apa pun yang paling malang ialah
penyokong-penyokong mereka yang begitu mudah diperbodohkan sehingga sanggup
berkhemah, bermalam dan berbaring di jalan raya serta ditangkap oleh polis.
Segala-galanya berpunca daripada sikap hipokrit dan watak 'sesumpah' pemimpin
pembangkang seperti Anwar! –Utusan Online
No comments:
Post a Comment