JEREBU:
PRESIDEN INDONESIA MINTA MAAF KEPADA MALAYSIA & SINGAPURA
JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo
Bambang Yudhoyono meminta maaf kepada Malaysia dan Singapura yang dilanda
jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara kedua-dua negara itu akibat kebakaran
hutan dan tanah gambut di Sumatera.
"Atas apa yang terjadi ini, selaku
presiden saya meminta maaf dan pengertian saudara-saudara kami di Singapura dan
Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Presiden di sini pada
Isnin malam.
"Tentu, tidak ada niat Indonesia
atas apa yang terjadi," katanya.
Yudhoyono berkata pada masa ini kawasan
yang terlibat dengan kebakaran itu iaitu Jambi, Bengkulu, dan Riau ditetapkan
sebagai daerah bencana berstatus darurat, dan kerajaan pusat mengerahkan tenaga
secara maksimum untuk menangani bencana itu.
Beliau berkata Indonesia
bertanggungjawab penuh untuk mengatasi masalah itu dan beliau yakin ia akan
dapat diatasi dengan segera.
Yudhoyono berjanji bahawa Indonesia akan
berusaha memadamkan titik-titik api yang membakar hutan Indonesia dengan melakukan
hujan buatan melalui pembenihan awan selain mengerah pasukan pemadam kebakaran
di darat termasuk menggunakan tenaga anggota tentera.
Pada sidang akhbar itu Presiden
Indonesia itu turut menyindir beberapa pegawai kerajaan republik itu yang
menyebut nama syarikat perladangan yang dipercayai menyebabkan kebakaran itu,
yang katanya tidak seharusnya mereka lakukan.
"Dari apa yang saya pantau setiap
hari, ada pernyataan dari sejumlah pegawai yang menurut saya tidak semestinya
disampaikan seperti itu," katanya.
Beliau berkata syarikat berkenaan belum
dipastikan terlibat dalam pembakaran itu dan para pegawai kerajaan harus
menghindari daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Kalau ada syarikat lalai, apa lagi
menyebut namanya jelas tidak diperlukan seperti itu. Sama halnya menyebutkan
syarikat asing yang dimiliki negara jiran kita, itu juga tidak
diperlukan," katanya.
Apa yang lebih penting pada masa ini
ialah tumpuan kepada usaha mengatasi bencana kebakaran dan asap yang sudah
berlarutan selama seminggu ini, katanya. – BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment