KEBEBASAN BERSUARA PEMBANGKANG ACUAN ALA BARAT
Di kebanyakan
negara Eropah, seseorang boleh menyatakan apa saja. Semuanya kerana menjunjung
prinsip dan falsafah kebebasan bersuara. Lantas mereka mengeluarkan kenyataan
yang menghina Islam, tetapi dibenarkan dan pertahankan atas alasan prinsip itu.
Atas nama
kebebasan bersuara juga sebuah media di Eropah menyiarkan karikatur menghina
Nabi Muhammad SAW. Serta-merta berpuluh akhbar lain mengikut jejak menyiarkan
karikatur itu dan tindakan mereka dipertahankan atas nama kebebasan bersuara.
Begitu juga
atas nama kebebasan bersuara, seseorang itu berhak menafikan apa saja. Negara
Barat mempertahankan tindakan itu atas nama kebebasan bersuara. Mereka boleh
menafikan kandungan Bible mereka. Mereka juga berhak menafikan kandungan
al-Quran. Malah, mereka berhak menghina dan memperlekehkan al-Quran. Semua itu
atas nama kebebasan bersuara ala Barat.
Kebebasan
bersuara bagi pembangkang adalah bersuara menyatakan sokongan kepada mereka.
Jika seseorang menyatakan sokongan kepada pemerintah (atau bersifat kritikal
terhadap pembangkang), itu bukan kebebasan bersuara, tetapi menjadi
‘pengkhianat’ atau sudah dibeli oleh parti memerintah”
Menafikan holocaust perbuatan jenayah
Bagaimanapun
sesiapa yang menafikan peristiwa holocaust ciptaan pemimpin Nazi Jerman, Adolf
Hitler ketika Perang Dunia II, dia berdepan hukuman penjara kerana perbuatan
menafikan holocaust adalah perbuatan jenayah di banyak negara Eropah.
Rupa-rupanya
kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di negara Barat juga terhad. Bukan
setakat terhad, mereka yang melanggarnya boleh dipenjarakan.
Malangnya, ada
pengikut Islam yang menari mengikut gendang hipokrit kebebasan bersuara di
Barat. Ini berlaku apabila umat Islam di negara Islam mengadakan tunjuk
perasaan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka menjahanamkan
harta benda kerajaan mereka sendiri, kerajaan yang daif dan miskin. Bukan
setakat itu, mereka berbunuhan sesama sendiri – sesama umat Islam ketika
bantahan ganas membantah penyiaran karikatur itu.
Begitu juga,
di banyak negara Barat mereka yang mempertikaikan apa-apa perkara mengenai
Yahudi akan dilabel sebagai anti-Semitik. Namun, mereka yang menghina,
menyerang hatta membunuh umat Islam tidak dilabelkan apa-apa.
Paling tidak
mereka dikatakan sebagai melakukan jenayah kebencian. Itu adalah senario
ringkas mengenai kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar ala Barat. Adakah kita
juga begitu di Malaysia?
Ada satu
perkembangan sedang berlaku di negara kita, terutama sejak kebelakangan ini.
Perkembangan menarik untuk diperhatikan ialah dalam satu majlis pelakon
antarabangsa kelahiran Ipoh, Michelle Yeoh berada di atas pentas dan secara
terbuka menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak.
Beliau
bergerak lebih jauh ke depan dengan meminta pengundi memilih dan mengekalkan
pemerintahan sedia ada demi kesinambungan pembangunan dan keamanan. Beliau
menyatakan demikian atas prinsip kebebasan bersuara dan beliau menerima kutukan
hebat. Justeru, sejauh mana dan seluas mana perimeter kebebasan bersuara kita.
Nampaknya, tiang gol sentiasa berubah-ubah.
Sokong kerajaan dilontar tohmahan, maki hamun
Sesetengah
mereka yang memperjuangkan kebebasan bersuara di Malaysia nampaknya membawa
acuan kebebasan bersuara ala Barat ke Malaysia. Dalam keadaan sekarang, mereka
yang menyatakan sokongan kepada Najib atau kerajaan akan dilontarkan dengan
tohmahan, sindiran, malah maki hamun.
Seperti
kebebasan bersuara di Barat, kebebasan bersuara di negara kita juga adalah
kebebasan dalam acuan sendiri. Akhirnya, Michelle menjadi sangat defensif
mempertahankan kenyataannya mengenai kepemimpinan negara sedia ada.
Dalam media
maya, Michelle menjadi sasaran kutukan tentera siber pembangkang seolah-olah
beliau melakukan dosa yang tak terampunkan. Timbul tohmahan beliau sudah dibeli
oleh kerajaan untuk menyatakan sokongan terbuka kepada Najib. Keadaan akan
menjadi sebaliknya jika beliau menyatakan sokongan terbuka kepada pembangkang.
Ingat Raja Petra Kamaruddin atau lebih dikenali
sebagai RPK?
Beliau pernah
menjadi buah hati atau ‘darling’ pembangkang dengan kritikan dan ulasan
pedasnya mengenai kerajaan dan parti memerintah. Beliau dipertahankan dan
diletakkan pada kedudukan tinggi dari kaca mata pembangkang kerana pendiriannya.
Mereka yang menyanjung dan mempertahankan setiap ulasan pedas RPK atas nama
kebebasan bersuara.
Apabila RPK
menjadi lebih objektif dalam ulasan dan kritikannya, daripada darling
pembangkang, beliau bertukar menjadi musuh nombor satu pembangkang. Dakwaan
paling lumrah ialah RPK sudah dibeli oleh parti memerintah.
Tindakan
Michelle dan RPK menyokong kepemimpinan sedia ada (atau dalam kes RPK, beliau
menjadi begitu kritikal terhadap pembangkang dan tidak semestinya menyokong
parti memerintah), dilihat dari kaca mata pembangkang sebagai mereka dibeli
oleh parti memerintah.
Kelihatannya
acuan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar itu sudah berbeza-beza. Bagi satu
pihak, acuannya berbentuk bulat, tetapi bagi pihak yang lain, acuan
bersegi-segi. Jika ini bentuknya kebebasan bersuara, titik pertemuan tidak akan
pernah bertemu dan ada nada pihak yang sentiasa dipersalahkan. Begitulah, jika
pintu gol sering berpindah-randah, permainan secara adil tidak akan pernah
terjadi.
Apabila
menyentuh jawapan sudah ada dan memang sudah ada pihak yang mahu dipersalahkan,
teringat cerita seorang sahabat mengenai majlis kenduri kahwin zaman dulu-dulu
di kampung. Menurutnya kenduri kahwin di kampung tidak semeriah dulu lagi
kerana kerja membina bangsal, memasak makanan, menghidang dan mencuci pinggan
mangkuk semuanya ‘diswastakan’, tuan rumah menggunakan khidmat katering.
Dia berkata,
dulu, tuan rumah hanya perlu menghubungi dan berbincang dengan persatuan pemuda
atau belia kampung. Pemimpin pemuda dan belia kampung akan menghimpunkan rakan
memeriahkan majlis perkahwinan. Katanya lagi, semua itu dulunya boleh
diharapkan kepada Pemuda UMNO. Lantas dia menyalahkan Pemuda UMNO. Entah apa
kena mengena antara Pemuda UMNO dengan majlis perkahwinan!
Dakwaan dibeli parti memerintah
Berbalik
kepada cerita kebebasan bersuara, nyata sekali kebebasan bersuara bagi
pembangkang adalah bersuara menyatakan sokongan kepada mereka. Jika seseorang
menyatakan sokongan kepada pemerintah (atau bersifat kritikal terhadap
pembangkang), itu bukan kebebasan bersuara, tetapi menjadi ‘pengkhianat’ atau
sudah dibeli oleh parti memerintah. Bagaimanapun, jika menyatakan sokongan
diluah kepada mereka, itu kebebasan bersuara namanya. Bayangkan bagaimana acuan
kebebasan bersuara jika mereka berkuasa.
-Penulis ialah
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM Melaka/BHarian