KUALA LUMPUR, 3 Jun — Tun Dr Mahathir Mohamad
menggesa Putrajaya supaya memikirkan kembali berkenaan kebebasan Internet, yang
mana sebelum ini beliau berkata Internet tidak perlu disekat.
Mantan perdana menteri itu berkata, kerajaan perlu
dibenarkan mencari jalan menapis kekotoran yang masuk melalui internet dan
mengambil tindakan.
“Negara perlu dibenarkan menapis segala kekotoran
yang masuk melalui Internet. Sudah tentunya jika boleh ada kawalan ia baik.
“Tetapi jika peraturan itu dilanggar, perlu ada
kuasa untuk menguatkuasa dan menghukum,” katanya.
Beliau yang berkhidmat sebagai perdana menteri
selama dua dekad hingga tahun 2003 sebelum ini berkata, Malaysia tidak akan
mengadakan sekatan terhadap Internet sebagai sebahagian usaha kerajaan
pimpinannya pada masa itu membangunkan Multimedia Super Corridor.
Beliau turut mengulangi kenyataan sama pada Sidang
Kemuncak Tahunan Ketiga Pemimpin Pelajar Malaysia pada Ogos tahun lalu,
walaupun mencadangkan tindakan disiplin dikenakan terhadap pesalah Internet.
“Sebagai contoh, terlalu banyak keganasan yang
divetuskan oleh Internet.
“Untuk itu, saya rasa kita ada hak untuk
mengharamkan, tapi, saya rasa dari segi politiknya, jika tidak berlaku perkara
itu, ia tidak perlu ditapis,” katanya sebelum ini dipetik Bernama.
Bagaimanapun, perdana menteri yang pernah memerintah
negara ini selama 22 tahun dan masih lagi berpengaruh berkata, beliau pada
ketika itu tidak menyedari keupayaan sebenar Internet.
“Apabila saya katakan tidak perlu ada penapisan
Internet, saya benar-benar tidak menyedari kuasa Internet, kuasa untuk
menurunkan nilai moral, menimbulkan masalah, dan kemarahan.
“Oleh itu, kita perlu memikirkan semula kebebasan
mutlak yang diberikan kepada Internet,” katanya.
Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/
No comments:
Post a Comment