KUALA LUMPUR: Sejumlah 2.6 juta penduduk Malaysia didapati
menghidap diabetes susulan pendedahan oleh Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi
Nasional (NHMS) tahun lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman
berkata keputusan kaji selidik NHMS itu mencemaskan dan membimbangkan di
sebalik usaha bersepadu yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan sejak
bertahun-tahun.
"Perangkaan daripada NHMS menunjukkan pesakit diabetes
di Malaysia meningkat kepada 31 peratus dalam hanya lima tahun berbanding
peningkatan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa Malaysia berumur 18
tahun dan ke atas," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan
Diabetes Kebangsaan 2012 bertemakan 'Ke arah Pencegahan dan Pengawalan Diabetes
yang Lebih Baik' di sini hari ini, Dr Hasan berkata antara faktor yang
menyumbang kepada peningkatan jumlah penghidap diabetes dalam kalangan penduduk
Malaysia termasuk berat badan berlebihan, genetik, gaya hidup dan diet tidak
sihat, meminum alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan
secara tetap.
"Cara pencegahan terbaik adalah dengan makan secara
sihat, bersenam sekurang-kurangnya dua kali seminggu, menjalani saringan
kesihatan secara tetap dan berkala dan penghidap diabetes mesti mendapatkan
rawatan serta penjagaan sewajarnya, misalnya mengawasi kadar gula dalam darah,
mendapatkan rawatan bagi peningkatan tekanan darah, dan penjagaan kaki serta
mata," katanya.
Dr Hasan berkata langkah pencegahan adalah tindakan yang
menjimatkan wang dan mengurangkan dengan banyak perkembangan penyakit itu serta
komplikasinya.
Beliau menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil
dan sektor swasta supaya membantu kementerian itu dalam Pelan Strategik
Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit dengan mempromosikan kempen gaya
hidup sihat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Diabetes Malaysia Prof
Datuk Ikram Shah Ismail berkata diabetes seharusnya dianggap sebagai isu sosial
serta ekonomi dan bukannya isu kesihatan.
Beliau berharap pengamal perubatan dan semua pihak akan terus
mempromosikan kesedaran mengenai diabetes untuk mengurangkan jumlah penghidap
diabetes dalam kalangan penduduk Malaysia.-BERNAMA
No comments:
Post a Comment