KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menjalankan siasatan terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berhubung isu penerimaan dana asing bagi membiayai pertubuhan tersebut mendapat bantahan daripada lebih seratus pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pengerusi
bersama Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga mendakwa
tindakan kerajaan menjalankan siasatan terebut menimbulkan keraguan terutama
kepentingan politik.
"Mengapa
selepas Presiden Rangkaian Melayu Malaysia (JMM) mempersoalkan kesahihan Suaram
sebagai badan NGO, barulah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjalankan
siasatan mereka?
"Jika
dilihat persatuan-persatuan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, mereka juga
menerima dana asing.
"Kita
ingin beritahu kerajaan bahawa Suaram tidak akan berdiri sendiri, kita akan
menyokong mereka," katanya pada Selasa.
Beliau berkata
demikian pada sidang media bersama 135 NGO yang menyatakan sokongan terhadap
Suaram.
Suaram sebagai
sebuah NGO bebas sebelum ini dipersoalkan berikutan menerima peruntukan tahunan
secara konsisten dari 'National Endowment for Democracy' (NED) yang
berpangkalan di Amerika Syarikat, sejak 2006.
Menurut portal
AIDC, seperti dinyatakan dalam laporan tahunan NED, Suaram menerima sejumlah
US$385,000 (RM1,218,328.65) bagi tahun 2006, 2007, 2008 dan 2009.
Dalam pada itu
Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong berkata, NGO yang menerima dana asing
daripada pelbagai sumber menggunakan peruntukan tersebut untuk menjalankan
program tanpa campur tangan mana-mana pihak.
"Jika itu
adalah wang George Soros (spekulator mata wang), apa yang dia lakukan (salurkan
dana) adalah urusan dia. Tetapi mengapa kerajaan cuba mempertikaikan dana ini
kerana semata-mata Soros terlibat dalam spekulasi mata wang pada lewat
90-an," katanya.
"Ia bukan
dana asing, ia adalah pembiayaan global. Kerajaan Malaysia juga ada menerima
pembiayaan dari negara luar dan memberi dana kepada negara luar untuk program
tertentu, adakah ini bermakna mereka berkhidmat untuk kepentingan asing?,"
katanya.
Suaram juga
dianggarkan menerima dana berjumlah RM558,000 daripada sebuah NGO di Amerika
Syarikat yang dikaitkan dengan Soros.
Mendedahkan
perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan dokumen masing-masing bertarikh
17 Oktober 2007, 18 Disember 2008 dan 12 Februari 2010, dana berjumlah
keseluruhan AS$188,775.65 diterima Suaram daripada Open Society Institute di
New York di mana Soros ialah pengasas dan pengerusi NGO terbabit./MStar
No comments:
Post a Comment