KUALA
LUMPUR: Guru sekolah bakal diiktiraf sebagai kumpulan sokongan terhadap Polis
Diraja Malaysia (PDRM) khusus bagi membantu mencegah kegiatan jenayah di
kawasan sekolah.
Hadir ke
sekolah lengkap beruniform polis, kumpulan guru terpilih itu juga bakal
diberikan kuasa hampir sama dengan anggota polis.
Selain
golongan pendidik, beberapa kumpulan dalam masyarakat seperti doktor, ahli
perniagaan dan individu perseorangan juga akan dilibatkan menerusi Pasukan
Sukarelawan Polis (PVR) bagi membantu PDRM mencegah jenayah.
Ketua Polis
Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, penglibatan kumpulan berpengaruh dalam
masyarakat menerusi PVR bakal dilaksanakan menerusi fasa Kedua Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan jenayah.
"Saya
akan lantik anggota PVR di kalangan guru-guru sekolah. Bila pergi ke sekolah
mereka akan pakai uniform polis.
"Kita
mahu masyarakat bekerjasama dengan polis. Bukan susah pun, bukan nak suruh
tangkap orang. Mereka hanya perlu pakai uniform kerana penampilan beruniform
memberi kesan yang besar terutama bagi mencegah jenayah," katanya menerusi
wawancara eksklusif di sini, Khamis.
Jelas
Ismail, langkah untuk melibatkan golongan pendidik dan kumpulan masyarakat itu
selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi
Bajet 2013 untuk menambah bilangan PVR seramai 10,000 orang dengan peruntukan
sebanyak RM70 juta bagi membantu polis membanteras jenayah.
Sehingga
kini dianggarkan terdapat seramai kira-kira 5,000 anggota PVR di seluruh
negara.
Bagaimanapun
menurut Ismail, pihaknya akan mengadakan perbincangan terpeinci mengenai
cadangan itu bersama pihak berwajib termasuk ketua pengarah pelajaran untuk
melibatkan guru sebagai anggota PVR.
"PDRM
tak mahu cadangan ini dianggap seolah-oleh kita bagi tekanan kepada guru. Kerja
utama mereka tetap mengajar. Mereka hanya perlu pakai uniform.
"Masa
untuk mereka bertugas juga fleksibel. Sebagai contoh kita galakkan mereka untuk
pakai uniform apabila bersama pelajar di luar kawasan sekolah untuk aktiviti
luar," katanya.
Mengulas
lanjut mengenai penglibatan guru sebagai anggota PVR, Ismail menjelaskan ia tidak
menggambarkan seolah-oleh berlakunya kadar jenayah yang tinggi di sekolah
sebaliknya hanya sebagai langkah pencegahan.
"Uniform
(polis) memberi gambaran yang baik kerana kita mahu tanamkan kepada pelajar
bahawa baju ini adalah lambang disiplin.
"Keduanya,
penglibatan guru sebagai anggota PVR dengan memakai uniform polis lebih kepada
memberi amaran serta peringatan kepada orang luar yang mempunyai niat
jahat," katanya.
Selain itu
Ismail berkata, perancangan itu merupakan lanjutan kepada program blue and
green yang membabitkan anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)
bagi meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah.
"Sekarang
ini sudah ada polis dan Rela di sekolah. Jadi selepas ini kita akan buat dalam
skala yang lebih besar. PDRM akan libatkan semua sekolah dan ia bakal
dilaksanakan secara berfasa," katanya lagi. -MStar
No comments:
Post a Comment