Wednesday, July 24, 2013

TPP: HARGA RUMAH AKAN NAIK

Harga rumah yang telah dianggap terlalu tinggi pada masa ini akan melonjak naik jika perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain ditandatangani.

Wakil Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (Arkim) Mohamad Mokhtar Abdullah berkata, persaingan yang semakin meningkat antara firma luar negara dan tempatan akan meningkatkan harga lot tanah di mana projek perumahan akan dibina, menyebabkan kenaikan dalam harga rumah.

“Pasaran hartanah bukan macam jual baju. Kalau baju, lagi banyak kilang dibuka lagi murah.

“Tapi dalam hartanah, akan berlaku persaingan (dengan syarikat luar) untuk dapatkan tanah, permintaan akan semakin meningkat tetapi jumlah tanah tetap sama, jadi harga akan naik,” katanya dalam sidang media berhubung impak TPP kepada industri pembinaan di Kuala Lumpur, semalam.

Sidang media oleh Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu itu turut dihadiri Presiden Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu dan Bumiputera Malaysia (Perkem) Mohsen Hasbollah serta Presiden Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PKPP) Jamaliah Abdul Hamid.

Mohamad Mokhtar juga berkata, peluang untuk berniaga di negara anggota TPP lain dianggap tidak wujud kerana pelbagai syarat dan terma ketat yang dikenakan dan tiada data yang boleh menyokong jangkaan kerajaan bahawa syarikat pembinaan akan dapat menembusi pasaran luar walaupun TPP memberi akses pasaran yang lebih besar.

“Bukan  mereka tak benarkan kita berniaga di sana tapi firma Malaysia ini kebanyakannya kecil dan sederhana (PKS), jadi kalau diikut dari segi modal dan keupayaan, awal-awal lagi dah ditolak,” katanya.

Mengikut perangkaan SME Corporation Malaysia, sebanyak 97.3 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS.

Sementara itu, Mohsen berkata, keupayaan syarikat kontraktor Melayu dan bukan Melayu di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dan menganggap pembukaan pasaran seperti dirundingkan dalam TPP ibarat gergasi melawan manusia.

“Bila buka pasaran, macam gergasi (syarikat asing) melawan manusia (syarikat tempatan). Adakah kita bersedia?

“Bukan sahaja kami sektor swasta perlu bersedia tapi adakah kerajaan sendiri bersedia? Bagaimana dengan kesan aliran keluar mata wang jika projek di negara ini diberi kepada syarikat luar?,” soalnya.

Beliau turut meminta kerajaan ikut langkah negara lain seperti Jepun yang memberi keutamaan kepada syarikat tempatan mereka sehingga membolehkan nilai mata wang mereka kekal kukuh. –Sinar Harian

Tuesday, July 23, 2013

SYIAH LEMAHKAN UMAT ISLAM – TUN M

ALOR SETAR - Penularan fahaman Syiah melemahkan lagi umat Islam di negara ini dan mewujudkan perpecahan selepas berlaku perpecahan disebabkan faktor politik.
 
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apabila wujudnya dua kelompok antara Syiah dan Sunni, berlakunya permusuhan sehingga berperang serta saling berbunuhan.

Beliau berkata, keadaan sedemikian dapat dilihat berlaku di Pakistan dan Iran.

“Kita di sini bernasib baik kerana semua berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Kita orang Sunni pengikut mazhab Imam Shafie.

“Jadi sepatutnya, tak adalah perbezaan agama antara kita (umat Islam)... tak ada permusuhan. Bila masuk fahaman yang berbeza ini akan berlaku perpecahan,” katanya ketika meluangkan masa untuk membeli-belah di Pekan Rabu, semalam.

Dr Mahathir berkata, umat Islam adalah bersaudara sebaliknya apabila wujud fahaman berlainan akan membawa pelbagai masalah.

“Tak eloklah kalau kita tengok di Malaysia ada masjid untuk orang berfahaman Syiah dan ada masjid untuk mereka yang Sunni. Sehingga kini kita pergi ke masjid yang sama, kita tidak harus berpecah.

“Mereka (Syiah) nak faham agama mereka begitu, mereka punya masalah tetapi jangan sampai bawa ke negara kita,” katanya.

Ditanya pendapat beliau agar fatwa anti-Syiah diwartakan di negeri-negeri lain seperti yang dicadangkan Kerajaan Kedah, Dr Mahathir berkata, pihak berkenaan perlu membuat kajian teliti.

“Mereka patut kaji. Saya fikir alasan yang saya berikan perlu dipertimbangkan. Ini kerana kalau berlaku perpecahan kalangan orang Islam, mereka akan menjadi lebih lemah.

“Sekarang dah lemah dah... berpecah sebab politik, ini mai satu lagi pecahan dalam agama habis bergaduhlah kita,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Kedah mencadangkan untuk menggazet fatwa anti Syiah di negeri ini selepas dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat kebangsaan pada 5 Mei 1996.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu dibuat berikutan Kedah juga tidak bebas daripada penularan fahaman itu.

Sebelum ini, muzakarah khas Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. – Sinar Harian

Monday, July 22, 2013

AHLI SYIAH CECAH SEJUTA? 

SHAH ALAM – Ketua Kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan mencecah antara 300,000 dan sejuta orang.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi anggaran tepat kerana tidak mempunyai data mengenainya.

“Jumlah yang tepat kita tidak ada. Kita hanya mengambil kira jumlah itu berdasarkan pelbagai pandangan dan laporan di media.

“Ada laporan mengatakan 300,000 orang. Paling ramai pernah dilaporkan mengenai jumlah pengikut Syiah di Malaysia ialah sejuta orang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jumlah sebenar pengikut ajaran Syiah di Malaysia.

Diminta mengulas mengenai cadangan mewartakan fatwa anti-Syiah di negara ini, Mohd Kamilzuhairi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada kerajaan.

“Saya tidak mahu komen panjang. Terserah kepada kepada menteri terlibat untuk buat keputusan mengenai Syiah.

“Cuma apa yang boleh saya kata, sesuatu perkara yang salah lambat laun pasti akan musnah. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Kerajaan Kedah bercadang mewartakan fatwa anti Syiah selepas dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat kebangsaan sebelum ini. –Sinar Harian

Thursday, July 18, 2013

HINA ISLAM: 'RAKYAT GUNA KUASA SENDIRI JIKA KERAJAAN LEWAT BERTINDAK'

PULAU PINANG - Kelewatan kerajaan bertindak tegas terhadap pihak atau individu yang mempersenda agama Islam menyebabkan rakyat, khususnya umat Islam terpaksa mengambil jalan penyelesaian sendiri meskipun menyalahi undang-undang.
 
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perkara sedemikian amat membimbangkan berikutan kejadian lebih buruk mungkin boleh berlaku yang mampu menggugat perpaduan kaum.

Menurutnya, kes culik dan membogelkan seorang penjaga kaunter kafe siber di Lembah Klang kelmarin merupakan permulaan kepada kebangkitan masyarakat Islam yang terlalu marah dengan perbuatan menghina Islam sejak kebelakangan ini.
 
"Saya bimbang pada suatu hari nanti rakyat akan menggunakan kuasa mereka dengan mengambil tindakan sendiri.

"Kerajaan perlu tegas, gunakan undang-undang sedia ada terhadap mereka yang mempersendakan Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian pukul 3 pagi kelmarin yang mana mangsa terbabit diculik sekumpulan lapan lelaki menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna ketika berada di sebuah restoran bersama teman wanitanya di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Mangsa kemudian dibawa kumpulan suspek terbabit ke sebuah kawasan hutan sebelum dibogelkan, seterusnya ditinggalkan di tepi jalan di Kilometer 4.5, Lebuh Raya Duke berhampiran susur masuk ke Setiawangsa.

Selain dibogelkan dengan seluar, baju dan pakaian dalamnya dilarikan, badan mangsa turut diconteng.

Musa memberitahu, sekiranya kerajaan masih gagal bertindak tegas terhadap pihak yang menghina Islam, rakyat mungkin akan hilang kepercayaan terhadap undang-undang negara.

"Mereka (rakyat) akan melihat undang-undang sedia ada tidak tegas, tidak perlu dihormati," tegasnya.- Utusan Online