Tuesday, July 3, 2012

PERAK MAN - KEMBALIKAN HAK LENGGONG


LENGGONG – Sudah tiba masanya ‘Perak Man’ dikembalikan ke tempat asalnya setelah Lembah Lenggong kini tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (Unesco).


'Kembalikan hak Lenggong'
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, rangka yang membuktikan penempatan manusia prasejarah sejak zaman paleolitik itu kini dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur.

“Diharapkan Kerajaan dapat bawa balik rangka Perak Man ini ke tempat asalnya supaya pelancong tempatan mahupun antarabangsa betul-betul menumpukan di kawasan ini sekali gus memberi impak besar terhadap pelancongan negara.

“Di sini (Muzium Arkeologi) hanya ada replika, tetapi di Kuala Lumpur ada rangka Perak Man yang akhirnya pelancong hanya bertumpu di kawasan itu sahaja,” katanya.

Menurutnya, batu meteor yang ditemui di Bukit Bunuh di sini juga harus dikembalikan sekali gus menjadi daya penarik kepada pelancong untuk berada di daerah itu.

“Universiti Sains Malaysia (USM) menyimpan batu berkenaan untuk kajian mereka. Saya merasakan batubatu yang telah dikaji perlu diletakkan kembali ke sini sebagai satu lagi tarikan baru di muzium ini.

“Kita juga ada rancangan untuk mewujudkan muzium batuan yang mempamerkan pelbagai batuan yang bernilai tinggi yang ditemui di kawasan Bukit Bunuh,” katanya.

Dengan pengiktirafan dari Unesco itu, Shamsul Anuar berkata, kerajaan perlu beri tumpuan dengan menaik taraf daerah ini dan buat perancangan rapi agar masyarakat setempat dapat manfaat daripadanya.

“Pelbagai kemudahan seperti pengangkutan, penginapan, makanan dan sebagainya perlu diketengahkan bagi mempromosikan daerah ini yang terkenal dengan kepelbagaian budaya serta produk makanan.

“Saya lihat perkara ini mesti beri keuntungan kepada masyarakat setempat untuk tingkatkan pendapatan dan ekonomi negeri dan yakin Lembah Lenggong akan menjadi terkenal,” katanya. - SinarHarian
HUDUD DI JOHOR: NIK AZIZ UCAP TAHNIAH


Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan tahniah kepada Umno atas cadangan seorang ADUN parti itu di Johor untuk melaksanakan undang-undang hudud ke atas semua rakyat, termasuk bukan Islam.

Menteri besar Kelantan itu mengalu-alukan negeri Johor untuk merintis usaha itu sekiranya negeri berkenaan mampu berbuat demikian.

Menurut beliau, Kelantan menghadapi halangan untuk laksana hudud tapi jika Johor boleh buat dahulu, buatlah, silakan.

KD: Isu hudud telah lama bermain-main dalam negara ini. Tetapi, kali ini ia menjadi hangat apabila pemimpin BN sendiri yang mengusulkannya. Malah, ia menjadi bertambah hangat apabila ia diusulkan di negeri selatan tanah air, yang sedang meningkat maju.

CUEPACS: KAKITANGAN AWAM PERLU DRASTIK UBAH SIKAP

KUALA LUMPUR - Penjawat awam perlu melakukan anjakan sikap yang drastik seiring dengan gagasan dan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman Omar berkata, penjawat awam tidak seharusnya berasa selesa berada di takuk lama sehingga pencen dan sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian yang biasa.

"Penjawat awam perlu menyahut seruan Perdana Menteri sebagai satu cabaran bagi meningkatkan daya saing mereka. Mahu naik gaji tapi sikap di tahap lama tidak mahu berubah... macam mana? Kita menyokong untuk menjadikan penjawat awam berpendapatan tinggi tapi mesti seimbangkan pendapatan dengan sikap serta kerja yang dilakukan."

Omar berkata, bahagian latihan dan sumber manusia setiap agensi kerajaan perlu memainkan peranan dalam membentuk minda penjawat awam supaya mampu berfikir di luar daripada kebiasaan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

"Dengan menggunakan kaedah bukan konvensional, mekanisme baru bagi menyelesaikan masalah rakyat dan melakukan kerja harian akan terbentuk dan mekanisme ini akan membantu penjawat awam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik," katanya. – SinarHarian

ADUN UMNO GESA JOHOR NEGERI PERTAMA LAKSANA HUDUD

alt

KUALA LUMPUR 1 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno Johor menggesa Johor menjadi negeri pertama di negara ini bagi melaksanakan hukum hudud.

Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau mahu Johor melaksanakan hukum hudud yang sebenar (berbeza dengan hudud Pas) bagi mendahului negeri- negeri lain.

"Hukum hudud sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara dan bukan seperti dakwaan Pas yang hukum hudud hanya untuk umat Islam sahaja," katanya.

Menurut Ayub, hukum hudud Kelantan di bawah Kanun Jenayah Syariah II tidak menggambarkan kehendak Islam yang sebenar serta boleh menimbulkan diskriminasi diantara orang Islam dan bukan Islam.

Sehubungan itu, beliau mencabar Pas untuk menyokong cadangan pelaksanaan hukum hudud walaupun ia disuarakan oleh pihak Umno jika mereka ikhlas ingin memperjuangkan Islam.

Tambah Ayub, sebagi langkah awal, Johor perlu memberi kefahaman lengkap kepada orang bukan Islam mengenai pelaksanaan hukum hudud.

Namun, beliau turut mengatakan bahawa pelaksanaan hudud diperingkat nasional hanya akan berlaku dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan. -KLPos

Monday, July 2, 2012

LOGO HALAL - AMBIL TINDAKAN JIKA PAMER LOGO PALSU

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pengusaha premis makanan dinasihatkan agar tidak mengelirukan pengguna dengan logo halal palsu dan tulisan ayat-ayat al-Quran jika masih tidak mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, tindakan yang diambil oleh Jakim adalah untuk memastikan tiada pengguna beragama Islam tertipu dengan penggunaan logo atau ayat-ayat yang kononnya premis makanan tersebut dijamin halal.

“Tindakan hanya akan diambil pihak Jakim jika premis tersebut memaparkan logo halal selain keluaran Jakim serta jika mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan pengusaha premis makanan agar mendapatkan kelulusan terdahulu sebelum bertindak sedemikian," katanya. –Utusan Online
PERAK MAN - LEMBAH LENGGONG TAPAK WARISAN DUNIA


Lembah Lenggong di Perak yang menjadi lokasi penemuan Perak Man pada 2001 kini tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mengakui ia sesuatu yang membanggakan negara.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha Jabatan Warisan Negara diketuai Prof. Zurainah Majid yang menjayakan cadangan supaya Lembah Lenggong dijadikan sebagai sebuah kawasan sejarah diiktiraf UNESCO.

Lembah Lenggong yang dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap 'ibu kota' Malaysia turut mempunyai beberapa bukti lain seperti Kota Tampan, Gua Teluk Kelawar selain Gua Gunung Runtuh yang menempatkan Perak Man.

Tambah Rais, bagi meyakinkan dunia mengenai tapak bersejarah itu, Perak Man dan Wanita Perak akan dijelmakan sebagai satu artifak berharga kepada negara.

Ujar beliau, kementerian juga akan mengadakan permuafakatan dengan kerajaan negeri Perak bagi membuat kajian tentang pembangunan dan susulan mengenai tapak itu demi pembangunan sosio budaya dan warisan yang paling kental. –Utusan Online

Tuesday, June 26, 2012

RAFIZI LETAK JAWATAN BUKAN KEJUTAN, AKAN LEBIH MANTAPKAN PARTI - ZURAIDA

PETALING JAYA: Pengumuman peletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor oleh Rafizi Ramli, pada Khamis merupakan salah satu strategi untuk memantapkan jentera parti.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, pengumuman yang dibuat Rafizi juga bukan satu kejutan dalam PKR kerana kebanyakan pimpinan tertinggi parti telah mengetahui hasrat Rafizi untuk melepaskan jawatan yang disandang sejak 2009.

"Sebenarnya beliau sudah lama 'bersuara' sebab mahu beri tumpuan dalam parti sepenuh masa. Saya dan pimpinan tertinggi tak terkejut.

"Tiada kaitan dengan dakwaan pergolakan dalam parti, malah tindakan beliau itu sebenarnya akan lebih memantapkan parti dan jenteranya," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Menurut Zuraida, Rafizi yang memegang jawatan pengarah strategi PKR perlu meluangkan lebih banyak masa kerana beliau dijangka akan bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Malah, Ahli Parlimen Ampang itu juga menegaskan sudah tiba masanya untuk Rafizi 'turun padang' bagi membina dan memantapkan imej beliau sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). –Mstar Online