KUALA NERANG: Seramai 96 daripada 300 pelatih Program Latihan
Khidmat Negara kem Dusun Resort dekat sini dikuarantin kerana dijangkiti virus
H1N1 sejak malam Rabu.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul
Hadi Awang Kechil berkata seramai 18 pelatih sedang dirawat dan dikuarantin di
Hospital Kuala Nerang manakala 78 lagi dikuarantin di blok khas di kem itu.
"Jabatan kesihatan sedang memantau kes tersebut dan
langkah pencegahan telah diambil oleh pihak pengurusan kem bagi memastikan
virus itu tidak merebak," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.
Beliau berkata pihak pengurusan kem juga mematuhi prosedur
yang ditetapkan oleh jabatan kesihatan dan beberapa petugas jabatan kesihatan
turut ditempatkan di kem berkenaan.
"Buat masa ini, semua pelatih dan kakitangan kem itu
tidak dibenarkan keluar dari kem sehingga diberitahu kelak", katanya.
Abdul Hadi menasihati ibu bapa supaya tidak datang melawat
pelatih dan hanya dibenarkan menghubungi mereka (pelatih) jika perlu.
"Tetapi kalau ada perkara yang penting dan perlu
berjumpa dengan pelatih, mereka (ibu bapa) boleh datang tapi perlu memakai
mask.
"Ibu bapa tidak perlu risau kerana langkah pengawalan
dan pencegahan sedang dilakukan di kem tersebut," katanya.
Beliau berkata semua pelatih yang terlibat adalah pelatih
daripada kumpulan dua 2012. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment