PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan 20 jenis barang runcit
yang diletakkan di bawah Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
tempoh kuatkuasa skim kawalan harga itu ialah selama 15 hari, mulai 12 hingga
26 Ogos.
"Semua peniaga perlu meletakkan tanda harga
berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal untuk mudah membezakan
dengan barang-barang lain," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.
Beliau berkata, peniaga yang gagal berbuat demikian
dan tidak mematuhi peraturan harga di bawah skim itu akan dikenakan tindakan
tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.
Pegawai Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga akan
berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna untuk memastikan semua peraturan
dipatuhi, katanya.
Harga maksimum bagi barang terkawal itu ialah untuk
ayam hidup (RM5.70); ayam standard yang disembelih dan dibersihkan beserta
kaki, kepala, hati dan hempedal (RM6.80); ayam super yang disembelih dan
dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal (RM7.60).
Daging lembu tempatan (RM22.00); daging lembu
import-harga maksimum di Sarawak sahaja (RM24.00); daging kerbau tempatan
(RM21.00); dan daging kerbau import India (RM13.50).
Selain itu telur ayam gred A (RM0.35 sen), gred B
(RM0.34 sen) dan gred C (RM0.33 sen); kubis bulat import-Indonesia dan China
tidak termasuk kubis Beijing (RM3.20); cili merah (RM10.00); dan tomato
(RM4.50).
Kelapa parut-harga maksimum di peringkat runcit
sahaja (RM6.00); kacang tanah import (RM6.50), bawang merah kecil India
(RM5.00); bawang besar import (RM2.50), bawang putih China (RM7.50), ubi
kentang import China (RM3.00); dan ikan kembung (RM12.00).
Ismail Sabri berkata, senarai harga berkenaan adalah
berdasarkan di WilayahPersekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana untuk
beberapa negeri tertentutermasuk di Sabah dan Sarawak terdapat sedikit
perbezaan harga.
Aduan mengenai peniaga tidak mematuhi skim itu boleh
dibuat menerusi emel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my, atau talian bebas tol
1-800-886-800, SMS ke 15888 dengan menaip "KPDNKK ADUAN " atau lapor
terus di pejabat KPDNKK di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian
akan menyiasat berhubung aduan kenaikan harga simen sebelum sebarang tindakan
diambil kerana simen tidak tertakluk di bawah barang kawalan.
"Jika siasatan mendapati kenaikan harga barang
itu melampau dan sengaja dinaikkan tanpa alasan munasabah, tindakan boleh
dikenakan," katanya. – BERNAMA
KD: Berikut merupakan jadual harga bagi 20 barangan tersebut:
No comments:
Post a Comment