Peserta himpunan Janji Demokrasi mula membanjiri Dataran Merdeka |
KUALA LUMPUR:
Himpunan 'Janji Demokrasi' oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada
malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 disifatkan sebagai berjaya oleh
penganjurnya, Gabungan Janji Bersih.
Ahli
Jawatankuasa 'Janji Demokrasi', Maria Chin Abdullah berkata walaupun polis menegaskan
perhimpunan tersebut sebagai haram pada saat-saat akhir, pihaknya berjaya
membuktikan bahawa mereka tidak melanggar perjanjian dengan polis dan Akta
Perhimpunan Awam 2012.
Malah beliau
berkata suasana di Dataran Merdeka yang terkawal menjelang detik kemerdekaan
sehingga peserta beredar meninggalkan lokasi tersebut selepas pukul 12 malam
menunjukkan rakyat hanya berhimpun untuk meraikan Hari Kemerdekaan sambil
menuntut perubahan dalam sistem demokrasi, hak dan kebebasan mereka di negara
ini.
"Tidak
ada perkara buruk berlaku, tiada yang bertindak agresif.
"Kita
hanya minta kepada kerajaan perubahan dalam beberapa perkara termasuklah
pilihan raya yang bersih dan adil. Inilah permintaan rakyat Malaysia. Semua
kita ada hak berada di Dataran Merdeka," katanya kepada pemberita selepas
selesai menghitung detik kemerdekaan bersama peserta perhimpunan di Dataran
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dekat sini, tengah malam Jumaat.
Hadir sama
Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said, Ahli Jawatankuasa Janji Demokrasi,
Hishammuddin Rais dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Maria yang
muncul di Dataran Merdeka pada pukul 11.20 malam dan kemudiannya berjalan ke
Dataran DBKL menganggarkan jumlah peserta yang menyertai himpunan ini melebihi
10,000 orang.
Bagaimanapun
katanya, bukan jumlah peserta menjadi kayu ukur kepada himpunan yang dianggap
berjaya ini.
"Yang
penting apa yang rakyat mahu," katanya.
Mengulas
tentang peserta perhimpunan yang kebanyakannya memakai pakaian berwarna kuning
dengan tulisan 'Bersih', Maria berkata setiap yang datang ke Dataran Merdeka
bebas memakai pakaian yang dikehendaki.
Maria sebelum
ini pernah menegaskan bahawa perhimpunan pada malam kemerdekaan adalah untuk
sambutan merdeka dan tiada kaitan dengan Bersih.
"Bukan
kita tak boleh kawal. Terpulang kepada mereka...baju apa, tulisan apa ia adalah
kebebasan," katanya.
A Samad Said |
Sementara itu
A.Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad tidak menyangka menerima jumlah
kehadiran yang ramai.
Beliau yang
mendeklamasikan puisi nukilannya di hadapan peserta menjelang detik 12 malam
berkata gembira melihat generasi muda turut berhimpun menyambut kemerdekaan
negara dan menuntut perubahan.
"Jumlah
yang luar biasa. Saya senang apabila jumlah ini terdiri daripada himpunan anak
muda," katanya.
Hishamuddin
ketika ditemui selepas bersurai daripada himpunan sambutan kemerdekaan berkata
secara keseluruhannya sambutan yang dirancang berjalan lancar.
"Tiada
sepanduk...tiada poster hanya satu puisi 'Janji Demokrasi' oleh Pak
Samad," ujarnya.
Gabungan Janji
Bersih memperlihatkan sebanyak 49 NGO bergabung untuk menyambut Hari
Kemerdekaan ke-55 sambil memakai simbol kuning, tanpa ucapan, perarakan atau kain
rentang. -MStar
No comments:
Post a Comment