KUALA LUMPUR 20 Sept. -
Majlis Tertinggi UMNO mengecam dan mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab
Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempertikai tindakan umat Islam
bangkit membantah penyiaran filem anti-Islam Innocence of Muslims.
Presiden UMNO, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, kenyataan Koo Ham itu jelas memperlekeh umat Islam
selain membuktikan DAP sebuah parti yang langsung tidak peka dengan isu-isu
berkaitan dengan kepentingan masyarakat Islam.
Malah katanya, permohonan
maaf yang dibuat Pengerusi DAP Perak itu hanya selepas teruk dikecam pelbagai
pihak boleh dipersoal sejauh mana keikhlasan kerana sebagai pemimpin, beliau
hairan mengapa Koo Ham tidak berfikir panjang sebelum membuat kenyataan itu.
Pada masa sama, Najib
berkata, Majlis Tertinggi UMNO juga mengambil ketetapan mengutuk
sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem Innocence of Muslims serta
karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah Perancis.
"Kalau begitu kita
pun buat kenyataan menghina dan kemudian minta maaf. Soalnya sejauh mana
keikhlasan dia? Sepatutnya dalam isu agama mereka (pemimpin pembangkang) perlu
lebih berhati-hati," katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis
Tertinggi UMNO, di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha
Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk
Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri
Mohd. Shafie Apdal serta semua ketua pergerakan.
Mengulas lanjut mengenai
filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang
mencetus kemarahan umat Islam, Najib berkata, perbuatan tersebut tidak boleh
diterima kerana ia mencemar kesucian agama Islam dan kemuliaan Rasulullah.
Jelas beliau, adalah
menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk mempertahankan agama Allah
tetapi harus dilakukan dengan menggunakan pendekatan berhemah tanpa sebarang
keganasan kerana Islam menolak keganasan.
"Kemarahan umat
Islam ini adalah sesuatu yang dijangka dan tidak dapat dielakkan memandang
mereka telah menghina Nabi Muhammad SAW. Ia perbuatan yang tidak boleh diterima
walau apa alasan sekalipun termasuk atas nama kebebasan bersuara.
"Namun dalam
mempertahan kesucian agama Allah ini, kita mestilah menggunakan pendekatan
berhemah. Bantahan secara keganasan melampau sehingga membawa kematian bukan
penyelesai masalah," katanya.
Najib sehubungan itu
menggesa seluruh umat Islam hadir beramai-ramai untuk menyuarakan bantahan
secara aman terhadap penyiaran filem dan karikatur tersebut bersama-sama
Pergerakan Pemuda UMNO selepas solat Jumaat esok, di depan Masjid Jamek Kampung
Baru. -BHarian
No comments:
Post a Comment