KUALA LUMPUR: Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi bayangan baru bahawa Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak mungkin akan diadakan pada November ini walaupun
ramai yang membuat spekulasi sedemikian.
Ini kerana katanya,
Perhimpunan Agung Umno telah ditetapkan dan dijadualkan dari 27 November hingga
1 Disember.
"Jika PRU-13 hendak
diadakan dalam bulan November, sudah semestinya Perhimpunan Agung Umno juga
akan ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, di Menara Datuk Onn, di sini, Khamis.
Najib yang juga presiden
Umno berkata, jika benar PRU-13 akan diadakan dalam masa terdekat, sudah
semestinya beliau akan menangguhkan terlebih dahulu Perhimpunan Agung Umno pada
tahun ini.
"Tapi ikut suka kitalah
mahu buat PRU-13 bila sekalipun," ujarnya berseloroh kepada para
pemberita.
Sebaliknya beliau berkata,
semua pihak berhak membuat spekulasi berhubung tarikh PRU-13.
"PRU-13 akan tetap
diadakan. Mengenai tarikh, ia terletak kepada saya untuk tetapkan bila ia akan
berlangsung," katanya.
Dalam perkembangan
berkaitan, Najib menambah, pemilihan pucuk pimpinan tertinggiUmno akan turut
ditangguhkan sehingga selesai PRU-13.
"Pemilihan tertinggi
parti akan ditangguhkan sehingga kita selesai PRU-13...itu pasti," katanya
lagi. -MStar
No comments:
Post a Comment