PUTRAJAYA 27 Sept. - Hasrat golongan
pertengahan dan bawahan memiliki rumah sendiri bakal menjadi kenyataan apabila
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membeli rumah secara pukal daripada
mana-mana pemaju perumahan sebelum dijual semula pada harga ditetapkan oleh kerajaan.
Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron
(gambar) berkata, menerusi kaedah tersebut harga jualan rumah dapat dikurangkan
berbanding harga pasaran semasa yang kini mengalami kenaikan mendadak sehingga
menyukarkan golongan terbabit membeli rumah.
''Walaupun tindakan ini dilihat
merugikan SPNB tetapi sebagai syarikat milik kerajaan kami melakukan
tanggungjawab sosial meringankan beban rakyat dalam membantu mereka memiliki
rumah.
''Sejak 1997, SPNB sebenarnya telah
memainkan peranan utama dalam memberi nafas baru kepada projek-projek perumahan
terbengkalai dan membina perumahan untuk semua," katanya ketika dihubungi
di sini hari ini.
Katanya, sudah sampai masanya untuk
SPNB memainkan satu lagi peranan sebagai pembeli rumah secara pukal bagi
mana-mana projek perumahan berdaya maju di seluruh negara sebelum menjualnya
pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
SPNB yang ditubuhkan pada 21 Ogos
1997 merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.
Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga
Batu berkata, SPNB juga dapat menjimatkan masa, tenaga dan sumber berbanding
dengan menggunakan peruntukan yang disalurkan itu untuk membina rumah.
''Bayangkan sekiranya SPNB mempunyai
peranan yang sedemikian, sudah pasti syarikat itu dapat mempengaruhi dari segi
harga, pakej pinjaman yang menarik dan sebagainya.
''SPNB boleh jual semula rumah pada
harga mampu milik dan dengan cara itu objektif untuk meringankan beban rakyat
dapat dicapai walaupun dengan cara yang berbeza malah lebih efektif,"
katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, sudah
tiba masanya untuk kerajaan bertindak mengawal harga tanah dan pengeluaran
bahan pembinaan kerana kedua-duanya mempengaruhi harga rumah.-UtusanOnline
No comments:
Post a Comment