KUALA
LUMPUR: Mulai 1 Januari tahun hadapan sebarang iklan mengelirukan atau palsu
disiarkan dalam media cetak atau elektronik, pengiklannya boleh dihadapkan ke
mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal di bawah Akta Perlindungan Pengguna
1999.
Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob berkata mana-mana individu mengeluarkan iklan mengelirukan dan palsu
mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan produk dan
kebolehdapatan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih
daripada tiga tahun.
"Bagi
pertubuhan pula, boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan
tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua," katanya kepada pemberita
selepas melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan di
sini, Isnin.
Ismail
Sabri berkata, butiran mengenai tindakan ke atas pengiklan terkandung dalam
garis panduan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengiklanan berikutan pindaan
terhadap Bahagian XIA, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diluluskan Parlimen,
baru-baru ini.
"Pindaan
itu adalah bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan palsu atau mengelirukan
bertujuan melindungi pengguna daripada tertipu dengan iklan-iklan tersebut.
Sebanyak 38
kes aduan mengenai iklan telah kami terima setakat hari ini," katanya.
Ismail
Sabri berkata jawatankuasa pengiklanan tersebut mendapat kerjasama daripada
beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri
dan Kementerian Kerja Raya serta dianggotai beberapa ahli akademik
dengandipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Sumber Maklumat, Dr Zuraidi
Ishak.
"Jika
iklan berkaitan dengan produk kesihatan, kami akan menyerahkannya kepada
Kementerian Kesihatan untuk tindakan. Kami hanya menguruskan iklan produk atau
perkhidmatan yang mengelirukan dan bertujuan menipu pengguna," katanya.
Beliau
berkata Garis Panduan iklan tersebut akan mengawal selia pengiklan terdiri
daripada pemilik barang atau perkhidmatan, agensi pengiklan atau mana-mana
pihak yang terlibat dalam usaha penyiaran iklan melalui media cetak atau
elektronik.
"Garis
panduan ini boleh dijadikan rujukan oleh para pengguna dalam mengenal pasti
kandungan iklan palsu atau mengelirukan, selain sebagai rujukan kepada
pengiklan agar bertanggungawab sepenuhnya terhadap iklan mereka.
"Iklan
yang akan disiarkan mestilah mendapat kelulusan daripada pihak-pihak yang
berkaitan," katanya.
Selain itu,
Ismail Sabri berkata perkara yang dilarang seperti dakwaan penyembuhan terhadap
penyakit-penyakit kronik dan tatacara penggunaan logo halal juga diterangkan dalam
garis panduan itu.
"Beliau
berkata kriteria-kriteria turut diambil kira apabila menyatakan terma-terma dan
syarat dalam iklan seperti penggunaan bahasa yang ringkas, saiz dan font yang
jelas serta kedudukannya yang mudah dilihat oleh pengguna dalam iklan
bilboard," katanya.
Menurut
Ismail Sabri, buku garis panduan itu akan diedarkan kepada orang ramai mulai
hari ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment