GEORGETOWN: Orang Melayu yang
menyokong DAP kecewa dengan keputusan perwakilan parti itu kerana tidak memilih
calon Melayu untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Mereka berpendapat, ahli DAP yang
kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina masih terikat dengan fahaman condong
kepada cauvinis dan juga perjuangan untuk kepentingan satu kaum saja.
Selain itu, keputusan perwakilan
turut menampakkan imej DAP bukan parti berbilang kaum dan mewujudkan
kemungkinan besar ia akan ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13).
Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang
(KMPP), Rahmad Isahak, berkata pihaknya yang selama ini rapat dengan
kepemimpinan DAP kecewa penolakan perwakilan parti terhadap calon Melayu DAP.
Mahu calon Melayu bertanding
“Kegagalan calon Melayu diundi ke
dalam CEC mengecewakan dan apa yang kita harapkan sekarang ini biarlah ada
calon Melayu DAP dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum.
“Jika itu pun mereka tidak buat, maka
DAP memang tidak ikhlas untuk memperjuangkan orang Melayu dan parti itu
bukanlah parti yang berbilang bangsa seperti sering diuar-uarkan,” katanya
ketika dihubungi di sini, semalam.
Pada pemilihan Kongres Kebangsaan DAP
ke-16 yang diadakan Sabtu lalu, semua lapan calon Melayu yang bertanding tewas
tetapi dua daripadanya iaitu Senator Dr Ariffin SM Omar dan Zairil Khir Johari
dilantik menganggotai CEC.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng menafikan ketiadaan calon Melayu yang diundi untuk CEC parti itu
sebagai tanda ia bersifat anti-Melayu dan anti-Islam.
Katanya, walaupun CEC dibarisi
kebanyakan ahli bukan Melayu tetapi masih memperjuangkan kepentingan semua kaum
di negara ini.
“DAP adalah parti berbilang bangsa.
Kami membuka keahlian kepada Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Kini kita
juga ada Kadazan dan Iban dalam CEC.
“Ketiadaan calon Melayu diundi dalam
CEC tidak bermakna parti ini adalah anti-Melayu seperti yang didakwa sesetengah
pihak,” katanya.
Percaya perjuangan DAP
Sementara itu, ahli DAP, Mohamed Hata
Wahari, berkata orang Melayu yang menyertai DAP masih lagi percaya dengan
perjuangan parti itu dan tidak perlu untuk keluar dari parti hanya kerana tiada
Melayu diundi ke CEC.
Katanya, penolakan perwakilan
terhadap calon Melayu disebabkan calon yang bertanding itu dirasakan tidak
berupaya menyumbang kepada kekuatan parti mengharungi pilihan raya.
“Dakwaan ahli DAP tidak percayakan
Melayu tidak benar. Contohnya, dulu Allahyarham Ahmad Nor mendapat undi
perwakilan tertinggi dan dilantik sehingga menjadi timbalan pengerusi parti.
“Ahmad dilantik sebab beliau buat
kerja dan dikenali ramai dan atas sebab itu berjaya mendapat kedudukan tinggi
dalam CEC selain memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya pada 1990,”
katanya. -BHarian
No comments:
Post a Comment