SINGAPURA
17 Dis. - Hampir setiap pekerja di Malaysia dijangka mendapat kenaikan gaji
pada tahun depan, demikian menurut Laporan Workmonitor Randstad terbaharu bagi
suku keempat yang diumumkan hari ini.
Perangkaan
itu adalah yang tertinggi dari kajian yang dilakukan di seluruh dunia dalam
kalangan 14,780 pekerja daripada 32 negara.
Kajian itu
mendapati, responden di rantau ini kurang keyakinan mengenai prospek kenaikan
gaji di China (82 peratus), Singapura (76 peratus), Australia (75 peratus), New
Zealand (69 peratus) dan Jepun (42 peratus).
Pengarah
Randstad Malaysia, Jasmin Kaur berkata, sentimen itu adalah sejajar dengan
prestasi kewangan perniagaan yang jitu di seluruh Malaysia.
Katanya,
empat daripada lima (82 peratus) pekerja yang dikaji selidik membayangkan
syarikat mereka mencatatkan prestasi yang baik tahun ini walaupun ekonomi
berhadapan cabaran.
"Para
pekerja memikul beban kerja yang lebih berat dan menjangka diberi ganjaran
sebagai mengiktiraf usaha masing-masing pada tahun ini," katanya.
Kaji
selidik di kalangan 405 pekerja Malaysia juga menonjolkan bahawa tujuh daripada
10 (71 peratus) pekerja menjangka menerima hadiah tahun ini seperti pakej
Krismas atau baucar hadiah dan 94 peratus menjangka menerima satu ganjaran
kewangan sekali sahaja.
Jasmin Kaur
berkata, adalah penting bagi para majikan mengiktiraf kerja keras yang
dilaksanakan para pekerja masing-masing pada tahun ini, terutama sekali
berikutan kekurangan pekerja dan keperluan mendapatkan pekerja mahir.
Menurut
laporan itu, dengan menawarkan ganjaran dan insentif, para pemimpin perniagaan
akan dapat memotivasikan dan mengekalkan petugas yang menunjukkan prestasi yang
baik.
"Bagaimanapun,
adalah penting bagi para majikan menyeimbangkan perbezaan motivasi pekerja
masing-masing," katanya.
Workmonitor
Randstad dilancarkan di Belanda pada 2003 dan meliputi 32 negara di seluruh
dunia, yang meliputi Asia Pasifik, Eropah dan Amerika dan diterbitkan empat
kali setahun.
Randstad
adalah salah satu penyedia perkhidmatan pengambilan pekerja dan sumber manusia
terbesar di dunia dan dengan operasi di Asia Pasifik di Malaysia, Singapura,
Hong Kong, China, Australia dan New Zealand. – BERNAMA/ UtusanOnline
No comments:
Post a Comment