PUTRAJAYA:
Jabatan Peguam Negara menangguhkan semua prosiding berhubung kes Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) di mahkamah.
Bagaimanapun,
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menegaskan semua saman AES yang
dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah. Penangguhan itu bagi
membolehkan jabatan mengkaji semula undang-undang berkaitan berikutan
percanggahan pendapat sesetengah pihak termasuk beberapa isu yang dibangkitkan
berkaitan aspek perundangan dan teknikal.
“Memandangkan
kebimbangan yang ditimbulkan pihak tertentu, Jabatan Peguam Negara memutuskan
untuk mengkaji semula pelaksanaan ini.
“Semua
prosiding ditangguhkan sehingga kebimbangan berkaitan diatasi dan keputusan
mengenainya akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi,” katanya dalam satu
kenyataan di sini semalam.
Mengulas
mengenai empat kes saman yang dilepaskan tanpa dibebaskan, Gani berkata ia akan
dikaji kembali dan akan didaftar semula jika boleh dilakukan pendakwaan.
AES
dikuatkuasakan JPJ bermula 23 September lalu dan setakat 10 Disember, 14 unit
AES dipasang iaitu tujuh di Perak, dua di Selangor dan lima di Kuala Lumpur
serta Putrajaya termasuk empat unit bergerak AES.
Sejak
penguatkuasaan sistem itu, JPJ mendapati kadar kesalahan trafik di beberapa
lokasi strategik berjaya dikurangkan sehingga 75 peratus.
Bagaimanapun,
segelintir pihak mempersoalkan penguatkuasaan itu kerana didakwa membebankan
pemandu manakala kadar had laju yang ditetapkan tidak sesuai di sesetengah
lokasi, selain pertikaian mengenai kadar yang berbeza bagi saman AES berbanding
saman polis.
Di Kuala
Lumpur, orang ramai yang hadir di Mahkamah Majistret semalam, bagi menghadapi
tuduhan membabitkan AES, diarahkan pulang dan tidak dituduh.
Peguam
Zulhasmi Sharif, berkata beliau dimaklumkan pihak polis tiada prosiding untuk
mendakwa semua pesalah semalam, manakala hanya prosiding untuk sebutan kes
diadakan bagi pesalah yang sudah pun dituduh di mahkamah sebelum ini. -BHarian
No comments:
Post a Comment