ISU TUTUP KAMERA AES DENGAN KAIN, JPJ TIDAK AKAN BERTINDAK
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ) tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap keputusan Kerajaan Negeri
Selangor untuk menutup dua kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mulai
Jumaat yang dipasang di negeri itu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat
Hasan berkata, agensi itu tidak akan campur tangan tetapi ia bergantung kepada
penyedia perkhidmatan AES terhadap keputusan kerajaan negeri.
"Ini kerana kamera AES perlu
beroperasi selama 24 jam sehari. Dan penyedia perkhidmatan perlu memastikan ia
(kamera) terus beroperasi.
"Kita (JPJ) tidak akan mengambil
sebarang tindakan. Jika mereka (kerajaan negeri) mahu menutupnya dengan kain,
penyedia perkhidmatan bagi AES akan menanggalkannya," katanya di sini,
Khamis.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim pada Khamis berkata, kerajaan negeri tidak akan menanggalkan dua kamera
AES tetapi menutupnya dengan kain merah.
"Kita akan cuba (tutup) dengan
kain merah dahulu. Kita mahu lihat siapa yang berani tanggalkannya," kata
Abdul Khalid.
Menteri Besar Selangor sebelum ini
berkata, keputusan menutup dua kamera AES itu dibuat selepas Kementerian
Pengangkutan tidak memberi maklum balas terhadap surat dihantar pihak berkuasa
tempatan menuntut kementerian itu mematuhi prosedur pemasangannya.
Terdahulu, Exco Kerajaan Negeri,
Ronnie Liu berkata, kamera yang mengesan kesalahan lalu lintas pengguna jalan
raya itu yang dipasang di Kilometer 6.6 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE)
dan Kilometer 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan akan ditanggalkan pada Jumaat.
Mengulas mengenai kenyataan Liu,
Solah berkata, ia disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak bermoral
sekiranya kamera AES ditanggalkan. -mStar
No comments:
Post a Comment