Timbalan
Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sekiranya ingin
memakan kerang, pastikan ia tidak diperoleh dari pantai barat Sabah.
"Orang
ramai diminta untuk tidak memakan makanan seperti kerang, siput dan ikan-ikan
pesisir pantai terutama yang diperoleh dari pantai barat Sabah.
"Jika
termakan dan mengalami tanda-tanda seperti kebas, pening, muntah dan sesak
nafas, sila dapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan
berdekatan," katanya dalam kenyataan kepada di sini, hari ini.
Rabu lepas,
dua kematian dilapor di Sepanggar, dipercayai akibat keracunan selepas memakan
kerang yang dicemari toksik berpunca daripada fenomena air merah di perairan
pantai barat Sabah.
Rosnah
berkata, daerah yang dikesan berlaku pencemaran air laut merah ialah Tasik
Sitompok di Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Pulau Gaya, Sepanggar Bay, (termasuk
Kuala Menggatal), Likas Bay, Papar, dan Tuaran.
Mengulas
mengenai dua kematian yang dilaporkan itu, Rosnah berkata, Jabatan Kesihatan
negeri menerima satu notifikasi mengenai keracunan makanan akibat memakan
kerang laut yang tercemar melibatkan enam orang.
Beliau
berkata hasil siasatan yang dilaksanakan pada hari sama mendapati kesemua
pesakit memakan kerang yang diambil di sekitar kawasan perairan Sepanggar pada
pukul 12 tengah hari pada 1 Januari.
"Antara
pukul 3 hingga 6 petang 1 Januari, mereka mengalami tanda-tanda keracunan
seperti kebas di leher, muntah, pening dan sesak nafas. Kesemuanya mendapat
rawatan di hospital dan kenam-enam pesakit telah dimasukkan ke dalam wad,"
katanya.
Beliau
berkata dua dari enam pesakit yang dimasukkan ke wad mengalami gejala yang
teruk iaitu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kejutan
anafilaktik.
"Pesakit
pertama, seorang budak lelaki berumur 14 tahun dibawa keluar dari Unit Rawatan
Rapi atas permintaan keluarga pesakit dan meninggal dunia di rumah pada 2
Januari manakala pesakit kedua, seorang budak lelaki berumur 9 tahun, meninggal
dunia di Unit Rawatan Rapi pada 4 Jan manakala empat pesakit lain dibawa
keluar," katanya.
Terdahulu,
Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar menghadiri program sumbangan peralatan
sukan kepada persatuan belia sempena program Fiesta Astro Belia 1Malaysia,
berkata empat pesakit berkenaan masih berada dalam pemerhatian kesihatan dan
pemantauan pihak hospital.
Beliau
berkata, Jabatan Kesihatan negeri juga telah menghantar sampel kerang dan air
laut di kawasan Sepanggar ke Jabatan Perikanan Sabah untuk dianalisa pada 4 Jan
dan mendapati terdapat kehadiran toksin PSP yang sangat tinggi di dalam sampel
kerang.
"Kawalan
dan komunikasi risiko berkaitan bahaya kejadian air laut merah telah dilakukan
kepada mereka yang terlibat dan pemimpin tempatan taman perumahan yang
berkaitan. Di samping itu, sebanyak 30 poster mengenai bahaya kejadian air laut
merah juga telah ditampal di kawasan tumpuan ramai di taman berkenaan,"
katanya.
Beliau
berkata Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Perikanan Sabah akan memaklumkan
kepada orang awam mengenai perkembangan kejadian air laut merah dari masa ke
semasa. - Bernama
KD: Amaran dan peringatan ini perlu
diwar-warkan secara lebih hebat lagi kerana kebanyakan orang (terutamanya yang ‘suka
makan’) ada kalanya terlepas pandang apa yang boleh dan tidak boleh dimakan.
No comments:
Post a Comment