Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto BN di Stadium Putra Bukit Jalil,
Kuala Lumpur dalam satu perhimpunan politik yang disemarakkan dengan lagu
patriotik ‘Inilah Barisan Kita’ dan lagu ‘Anak Kampung’ yang telah diubah suai
untuk menggambarkan semangat manifesto tersebut.
Membuka halaman manifesto
itu memberikan kita gambaran mengagumkan tentang Najib dan BN: Najib menyedari
betapa beratnya tugas untuk memimpin negara dan gabungan BN yang diterajuinya
sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Membaca manifesto itu
membolehkan kita menginsafi betapa banyaknya kejayaan yang telah kita ukir
selama di bawah pemerintahan BN: Ia memperlihatkan begitu kompleksnya
perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat, dengan
pendekatan keterangkuman menyatukan semua rakyat daripada pelbagai kaum, agama,
budaya, negeri dan wilayah.
Meneliti manifesto itu
mendedahkan kita kepada suatu persepsi yang begitu penting kepada kemanusiaan
dan politik: Najib dan BN mempunyai rekod menepati janji yang tidak dapat
disangkal, amat komprehensif, bersifat nasional dan mendahului zaman dari segi
cara pemikirannya, adil dalam pelaksanaan dasar-dasar serta realistik dalam
berjanji.
Najib selaku Pengerusi BN
tidak menjanjikan sesuatu yang tidak dapat ditepati. Tidak seperti mainan kata
pemimpin parti pembangkang, Perdana Menteri dan BN tidak berjanji untuk
memperdayakan pengundi.
Berbeza dengan para
pemimpin pembangkang yang berpolitik untuk merobohkan apa yang telah dibina,
kuasa yang ada, kepada Najib dan BN, adalah kesinambungan. Beliau tidak
menjanjikan apa sahaja yang ada di langit dan di bumi semata-mata untuk
mendapatkan kuasa.
Kandungan manifesto
Menepati Janji Membawa Harapan setebal 32 muka surat itu adalah refleksi
pegangan politik Najib dan corak perjuangan BN di bawah kepimpinannya. Melalui
manifesto itu, kita dapat merasakan bahawa Najib ialah seorang yang dapat
diyakini dan kepadanya dapat kita letakkan harapan untuk menentukan untung
nasib anak cucu di tanah air yang tercinta ini.
Manifesto itu dimulakan
dengan warkah Najib sebagai Perdana Menteri kepada para pengundi yang
mencerminkan keperibadian dan latar belakang politiknya sebagai anak sulung
Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.
Dengan Dewan Rakyat telah
pun dibubarkan pada 3 April lalu dan PRU-13 bakal diadakan beberapa minggu
lagi, Najib memulakan warkah dalam manifesto itu dengan ayat ”rakyat
Malaysia yang dikasihi".
Masanya telah tiba untuk kita membuat keputusan.
Laluan demokrasi menetapkan bahawa masa depan negara ini berada dalam tangan
rakyat. Kuasa rakyat itulah cerminan pilihan raya yang bebas dan adil.
Allahyarham ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein
pernah berkata, Tugas kamu kepada negara
adalah untuk memenuhi amanah rakyat dengan segala daya upaya.
Saya melangkah masuk ke bidang politik 37 tahun
lalu dan ini adalah kali pertama saya memimpin gabungan BN untuk menghadapi
pilihan raya umum. Ia menjadi satu cabaran besar dan tanggungjawab yang
berat," kata Najib.
Sebenarnya, tiada
perkataan manifesto tertera pada dokumen manifesto yang dilancarkan oleh Najib , tetapi beliau menegaskan dalam warkahnya bahawa para pengasas
negara ini menekankan betapa pentingnya komitmen serta pengorbanan.
Rekod kerajaan BN
menunaikan janji cukup jelas, tegas Najib, dan inilah rekod transformasi yang
beliau mahu dikupas, direnungi dan dihayati oleh 13.29 juta pengundi pada
PRU-13 nanti.
Daripada transformasi
ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada menjunjung hak asasi manusia dan
demokrasi, kita mara dengan penuh yakin dan mantap bagi mencapai liberalisasi
yang lebih menyeluruh. – Utusan Online
No comments:
Post a Comment