MANIFESTO PRU13:
7 CIRI-CIRI AKU JANJI TERBAIK
-Oleh Rohami Shafie, Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.
Demam Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU- 13) sudah bermula. Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang
sudah mengumumkan manifesto masing-masing. Bagi BN, istilah aku janji Rakyat
Didahulukan lebih sesuai digunakan kerana ia menunjukkan ikrar BN untuk
menepati segala intipati yang diumumkan demi menunaikan harapan rakyat.
Tidak kiralah apa pun
istilah, yang penting pengumuman yang dibuat oleh BN mahupun pakatan
pembangkang adalah perkara yang perlu ditunaikan dan bukannya sekadar umpan
untuk memikat hati pengundi mengundi mereka.
Bagi membezakan di antara
aku janji BN dan manifesto pakatan pembangkang, terdapat tujuh ciri-ciri yang
mana pengundi perlu mengenal pasti terlebih dahulu sebelum mengatakan bahawa
aku janji inilah yang terbaik untuk rakyat.
Ciri pertama adalah aku
janji tersebut mestilah adil dan saksama. Tidak boleh hanya menjurus kepada
satu-satu pihak. Umpamanya, hanya tertumpu kepada generasi muda dengan intipati
harapan untuk mereka sahaja sedangkan terdapat pelbagai golongan pengundi
iaitu, generasi lama yang lebih memikirkan masa hadapan anak cucu cicit mereka.
Negara ini bukan dihuni oleh satu golongan sahaja, maka aku janji yang berat
sebelah hanya mengundang masalah kepada golongan lain.
Kedua, menyeluruh dalam
semua segi. Ini bermaksud meliputi semua bidang termasuklah politik,
keselamatan, sosial dan pendidikan serta paling utama adalah ekonomi. Intipati
aku janji yang hanya mementingkan sesuatu bidang sahaja umpamanya ekonomi tidak
mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Sebagai contoh, apalah
gunanya ekonomi maju tetapi jenayah berlaku dengan berleluasa. Jadi, aku janji
yang menyeluruh, holistik atau komprehensif adalah antara ciri utama aku janji
terbaik.
Ketiga, realistik dan
bukan populis. Sekadar untuk menjadi populis, umpanlah segala-galanya
'percuma'. Namun, realistikkah segala-galanya diberi percuma?
Dalam dunia ini tidak
semuanya percuma kecualilah nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT seperti
nikmat bernafas dengan udara yang segar, nikmat melihat dan mendengar yang
tidak perlu dibayar dengan wang ringgit. Tetapi bagi hal-hal lain,
kebanyakannya mempunyai nilai yang perlu dibayar.
Keempat, kemampuan. Ciri
ini selalunya tidak diambil berat oleh segelintir ahli politik. Sesebuah negara
pastinya terhad sumber-sumber kekayaan. Hanya pengagihan sumber dengan adil dan
saksama sahaja memberi manfaat kepada semua.
Malangnya, intipati
manifesto yang berlagak seolah-olah mampu untuk semua segi menggambarkan
tiadanya perancangan yang jitu. Ia umpama biar papa asal bergaya. Tidak
mengapalah jika bergaya sampai ke anak cucu cicit tanpa masalah kewangan,
malangnya belum sampai ke generasi anak pun, negara sudah punah dilanda
kemuflisan, jadi siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas kemusnahan negara?
Kemampuan ini perlu
seiring dengan rasa tanggungjawab membentangkan aku janji dengan mengambil kira
perancangan rapi dan terperinci untuk memakmurkan negara.
Kelima, menepati segala
intipati manifesto dan bukanlah sekadar retorik. Hanya indah untuk didengar
tetapi pahit untuk ditelan.
Usah sekadar lembut lidah
menjelang PRU-13 tetapi disimpan dengan rapi tanpa melakukan sebarang tindakan
selepas PRU-13. Lebih malang lagi, apabila tidak langsung menunaikan intipati
manifesto tersebut.
Dengan kata lain,
pengundi diperdayakan oleh segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa. Tiada
langsung rasa untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh pengundi
kepada mereka. Sedangkan melaksanakan amanah dengan baik adalah kunci utama
pemimpin yang terbaik.
Keenam, pengalaman
melaksanakan aku janji. Bagi parti yang telah berpengalaman melaksanakan aku
janji dengan baik, pengalaman ini akan digunakan pada masa akan datang. Bagi
yang tiada pengalaman, mereka tidak mempunyai kemahiran tinggi dalam
melaksanakan aku janji.
Sebenarnya, menunaikan
aku janji bukan sekadar menepati janji tetapi juga perlu adanya kemahiran
tinggi dalam melaksanakannya. Ini kerana setiap satu intipati aku janji
mempunyai objektif masing-masing untuk dicapai, maka jika setiap daripada
objektif tersebut dilaksanakan oleh golongan yang tidak mempunyai kemahiran
tinggi kerana pengalaman cetek, mana mungkin ia dapat dilaksanakan dengan baik.
Ketujuh dan yang
terakhirnya ialah prestasi semasa sesebuah kerajaan. Pada PRU-13 ini, pengundi
boleh menilai prestasi semasa parti BN yang memerintah Kerajaan Persekutuan,
manakala pakatan pembangkang pula telah diberi peluang selepas PRU-12
menunjukkan kebolehan mereka memerintah untuk beberapa negeri, iaitu Selangor,
Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.
Mana satukah yang
mempunyai prestasi yang lebih baik? Sebagai contoh, jika kerajaan BN telah
berjaya mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus, adakah
negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang telah mengatasi
pertumbuhan ekonomi yang berjaya dicatatkan oleh BN?
Selain itu, adakah
pakatan pembangkang telah berjaya mengatasi pelbagai masalah rakyat selepas
diberi peluang memerintah beberapa negeri?
Jika jawapannya adalah
ya, sudah tentu pengundi berasakan prestasi pakatan pembangkang adalah lebih
baik daripada BN. Tetapi jika pengundi berasakan tidak, ini bermakna peluang
yang diberikan telah disia-siakan oleh pakatan pembangkang.
Bagi pengundi, prestasi
semasa menggambarkan sejauh manakah sesuatu parti dapat melaksanakan aku janji
dengan jayanya. Jika semuanya memuaskan, untuk segenap lapisan rakyat
terutamanya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, maka pengundi tidak
teragak-agak untuk memilih parti tersebut.
Justeru, tujuh ciri-ciri
aku janji terbaik di atas boleh membantu pengundi membuat keputusan tepat
semasa hari pengundian nanti. – Utusan Online
No comments:
Post a Comment