KUANTAN:
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak bersetuju dengan cadangan
agar jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.
Beliau
berkata, Umno sebuah parti yang demokratik dan sekiranya ia mahu kekal relevan
kepada golongan muda dan berpendidikan, ia tidak boleh menjadi parti yang
eksklusif.
"Saya
tidak bersetuju dengan cadangan agar jawatan tertinggi parti tidak
dipertandingkan. Pada saya, ia perlu terbuka kepada semua.
"Kita
menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden namun bagaimana
sekiranya jawatan Presiden, Timbalan presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita
tidak dipertandingkan?
"Adalah
lebih baik kita tidak melaksanakannya kerana ia akan menunjukkan kita
autokratik," kata Adnan kepada pemberita selepas melawat Karnival Jom
Heboh di Padang MPK2 di sini pada Sabtu.
Menurut
Adnan, beliau berkata demikian tidak bermakna dia tidak setia kepada Presiden
dan Timbalan Presiden parti sebaliknya Umno tidak akan menjadi demokratik
dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Sebelum ini
dilaporkan, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah menyatakan
hasrat sayap itu untuk melihat tidak ada pertandingan bagi dua jawatan
tertinggi parti pada pemilihan parti kali ini.
Beberapa
pemimpin Umno, termasuk Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan
Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan turut menyatakan sokongan terhadap
cadangan tersebut.
Sementara
itu, Timbalan Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim turut dilaporkan berkata
bahawa sayap Pemuda telah bersetuju sebulat suara mahu Khairy kekal sebagai
Ketua Pemuda Umno.
Ditanya
sama ada beliau ada menimbangkan hasrat untuk bertanding jawatan berkenaan,
Adnan berkata beliau tahu dia sudah tua dan mahu fokus terhadap apa yang perlu
dilaksanakannya.– mStar
No comments:
Post a Comment