TITAH AGONG BUKAN SATU ARAHAN, HANYA SEKADAR PRINSIP
- ANWAR
KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan titah ucapan Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bukan satu arahan yang perlu
dipatuhi serta tidak boleh dipertikaikan.
Menurut Anwar,
berdasarkan amalan demokrasi, Yang di-Pertuan Agong akan bertitah berdasarkan
usul dan nasihat Perdana Menteri bagi pihak kerajaan.
"Kalau
titah tuanku itu sebagai arahan ia tidak ada perbahasan. Tapi berdasarkan
prinsip dalam negara demokrasi, titah baginda itu diberi pertimbangan untuk
dibahaskan.
"Ia bukan
arahan. Tapi kalau menyentuh mengenai keamanan seperti jangan langgar undang-undang...itu
satu prinsip.
"Soal
lain ialah mengenai dasar yang boleh dibahas, dipertikai dan dibantah dari segi
hujah yang dikemukakan kerana itu adalah fakta yang dikemukakan oleh pihak
kerajaan," katanya ketika ditemui selepas istiadat pembukaan mesyuarat
pertama, penggal pertama Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata
demikian ketika diminta mengulas mengenai seruan Tuanku Abdul Halim yang
bertitah supaya wakil rakyat sentiasa memelihara dan melindungi Perlembagaan
Persekutuan serta tidak melakukan perbuatan yang boleh memusnahkan negara.
Menurut Seri
Paduka, sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan
ekonomi belum tentu dapat dibangunkan semula dalam tempoh yang singkat.
Mengulas
mengenai titah Seri Paduka yang menyeru supaya semua pihak menerima dan
menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu
bagaimanapun berkata perkara itu turut merupakan usul yang boleh dipertikai dan
dibahaskan.
"Agong
bertitah berdasarkan usul yang dibawa Perdana Menteri untuk pertimbangan
Parlimen.
No comments:
Post a Comment