WAKIL RAKYAT JANGAN MUSNAHKAN NEGARA - AGONG
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan wakil
rakyat supaya sentiasa memelihara dan melindungi Perlembagaan Persekutuan serta
tidak melakukan perbuatan yang boleh merosakkan negara.
Menurut Seri
Paduka, sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan
ekonomi belum tentu dapat dibangunkan semula dalam tempoh yang singkat.
"Beta
ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai ahli Dewan yang mulia ini
agar menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta
sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
"Janganlah
berbuat sesuatu perkara yang boleh memusnahkan negara.
"Beta
menyeru semua Ahli Yang Berhormat supaya merapatkan saf, berganding bahu
membangun dan memajukan negara," titah baginda ketika pembukaan mesyuarat
pertama, penggal pertama Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Selain itu
Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mempersoalkan
kedudukan serta menyelewengkan agama Islam untuk kepentingan mana-mana pihak.
"Beta
menyeru agar rakyat membuang sifat-sifat yang membawa kepada perpecahan
sebaliknya mencari titik persefahaman untuk memupuk dan mengeratkan
perpaduan," titah baginda.
Menerusi
ucapan baginda juga, Tuanku Abdul Halim sekali lagi menyeru rakyat di negara
ini supaya menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)
yang diadakan mengikut lunas demokrasi.
Selain itu
Seri Paduka menyeru semua pihak supaya bekerjasama dan berganding bahu bagi
membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju
berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Sambil
mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan Rakyat, Seri Paduka turut menyeru
semua wakil rakyat supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, berintegriti dan
sentiasa menunjukkan akhlak yang terpuji demi agama, maruah diri dan institusi
Parlimen.
"Sematkanlah
dalam sanubari bahawa kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat ke Dewan ini adalah
satu tanggungjawab bagi menunaikan janji kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment