ISMA DAKWA SYIAH DI
IPT MEMBIMBANGKAN
BANGI - Penyebaran ajaran Syiah
dalam kalangan penuntut universiti tempatan kini berada di tahap membimbangkan.
Ketua Unit Kajian Isu Syiah Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Mohamad
Ismail berkata, siasatan mendapati fahaman itu disebarkan oleh pelajar dari
Iran yang kini berjumlah sekitar 17,000 orang.
"Sebilangan daripada mereka masuk belajar di negara ini dengan
muslihat untuk menyebarkan ajaran Syiah. Ini termasuk menggunakan sijil
kelayakan palsu," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar
Ancaman Serangan Akidah - Bahaya Syiah & Liberalisme anjuran Isma Daerah
Hulu Langat.
Mohamad berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas membendung
gejala ini yang boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial termasuk pertembungan
akidah pada masa akan datang.
"Isu Syiah adalah isu serius, boleh memecahbelahkan masyarakat yang
berpunca daripada pertentangan akidah," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa terutama supaya
berhati-hati apabila dimaklumkan ada tawaran untuk pelajar negara ini
melanjutkan pengajian ke negara Syiah itu dengan pelbagai bantuan dan
kemudahan.
"(Ibu-bapa) kena ambil tahu juga pasal Syiah ini.Jangan asal ingat
negara Islam, kita fikir semua sama dengan kita. Pada 2011, saya pernah
dipanggil untuk berceramah kepada pelajar sebuah IPTA yang akan menyambung pengajian
ke Iran.
"Apabila saya tanya mengapa Iran, mereka beritahu rupa-rupanya ada
bantuan ditawarkan kerajaan negara itu untuk pelajar Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, semua individu Islam perlu bersedia dengan
maklumat yang tepat dan mencukupi mengenai Syiah serta memberi pendedahan
mengenai ajaran itu kepada anak-anak supaya mereka tidak mudah dipengaruhi.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment