GAJI ADUN SELANGOR
HARUS SEIRING PEMBANGUNAN
KUALA LUMPUR - Kenaikan gaji Adun Selangor yang diumumkan
pada Rabu seharusnya selaras dengan usaha mereka meningkatkan pendapatan per
kapita rakyat di negeri itu.
Pegawai Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia
(Mubarak) Selangor, Datuk Salamon Selamat berkata, kadar kenaikan gaji itu juga
terlalu tinggi dan tidak munasabah, selain tidak seiring dengan pembangunan
yang dibawa dalam tempoh lima tahun mereka mentadbir negeri itu.
"Banyak janji yang mereka buat masih tidak ditepati dan
pembangunan yang dibawa untuk Selangor juga tidak begitu banyak.
"Kita tengok sahaja pencapaian dari segi perumahan..
dalam tempoh lima tahun berapa banyak sangat rumah kos rendah dibina. Jadi bagi
saya kenaikan gaji ini adalah tidak selaras dengan apa yang mereka
lakukan," katanya.
Salamon, yang juga bekas timbalan speaker Dewan Undangan
Negeri Selangor, berkata beliau menyokong tujuan kenaikan gaji tersebut, namun
kadar kenaikannya mestilah seimbang dengan kenaikan gaji penjawat awam.
"Sekiranya kenaikan gaji mereka terlalu tinggi,
bagaimana dengan kakitangan kerajaan... penjawat awam negeri yang juga
bertanggungjawab bekerja keras untuk membangunkan Selangor," katanya.
Kenaikan gaji dan elaun bagi menteri besar, exco, speaker,
timbalan speaker dan Adun negeri Selangor itu akan berkuat kuasa 1 Januari
depan.
Berdasarkan struktur gaji dan elaun yang diluluskan itu gaji
menteri besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco
kerajaan negeri RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker Dun RM6,109.29 kepada
RM22,500; timbalan speaker RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun RM6,000 kepada
RM11,250.
Pindaan gaji kali terakhir dilakukan pada 2011. – Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment