UK SAHKAN HAMBA 30
TAHUN WARGA MALAYSIA
Siti
Aishah Abdul Wahab
- Foto Ihsan The Telegraph oleh Dean Nelson
|
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa United Kingdom hari ini mengesahkan status
wanita yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London adalah warganegara
Malaysia dengan nama berdaftar Aishah Wahab dan bertarikh lahir 27 Mei 1944.
Menurut Kementerian Luar, memandangkan kes itu masih di peringkat
siasatan, akses bagi mendapatkan maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk
kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-undang tempatan United
Kingdom.
Pihak berkuasa tempatan masih belum memberikan akses terus kepada mangsa
setakat ini.
"Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) akan menghulurkan kerjasama
sepenuhnya kepada pihak-pihak terlibat dalam membantu urusan penyiasatan,"
kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini.
Kementerian Luar melalui STM di London memantau rapi status wanita itu
yang sebelum ini dijadikan hamba selama 30 tahun di Selatan London.
Kenyataan itu menyebut STM juga akan mengambil langkah susulan bagi
menentukan status mangsa tersebut dari segi undang-undang.
"Sekiranya beliau secara tidak disedari telah kehilangan
kewarganegaraan Malaysia serta tidak mempunyai sebarang kerakyatan dalam tempoh
30 tahun yang lalu di bawah keadaan daif, STM akan bekerjasama dengan pihak
berkuasa lain bagi mengembalikan semula kerakyatan beliau.
"Bantuan konsular selanjutnya akan dihulurkan kepada mangsa dan
ahli keluarga, sebagaimana sesuai dan perlu," kata Kementerian Luar.
Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga
wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Okt lepas di London, selepas
seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan.
Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain. Aishah yang sebelum ini
dikenali dengan nama Siti Aisyah, berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan
meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of
Economics (LSE) di United Kingdom.
Namun, ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan
pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pengajiannya.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan
identiti wanita itu sebagai Siti Aishah Abdul Wahab dan merupakan individu yang
dikehendaki pada 1970-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri. –
Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment