KENAIKAN TOL,
ELEKTRIK: TWU MOHON KERAJAAN TIMBANG SEMULA
KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan menaikkan kadar tol lebuh raya dan tarif elektrik yang dijadual berjalan serentak bermula Januari depan.
Setiausaha Agung (TWU), Tan Sri Zainal Rampak berkata
kerajaan boleh menangguh sementara kenaikan itu bagi membolehkan perbincangan
semula diadakan dengan syarikat konsesi memandangkan kutipan diperoleh
bertambah setiap tahun.
"Perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat
konsesi lebuh raya merupakan satu persetujuan, jadi atas faktor itu kerajaan
boleh berunding semula
berhubung terma perjanjian," katanya di sini hari ini.
Zainal, yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja
Malaysia (MTUC) berkata kenaikan kadar tol dan elektrik secara serentak
merupakan kejutan buat rakyat berpendapatan rendah kerana caj baru itu menjejas
perbelanjaan harian mereka.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul
Wahid Omar berkata kadar baharu tol ialah untuk projek lebuh raya baharu dan
pemegang konsesinya perlu membuat kaji selidik terlebih dahulu sebelum
menetapkan kadar itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd
(TNB) Datuk Seri Azman Mohd pula menyatakan tarif elektrik baharu itu adalah
sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk pengukuhan
fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara. - Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment