KENAIKAN KADAR TOL: PEMEGANG
KONSESI SUDAH MEWAH
PETALING JAYA - Pemegang konsesi tol di negara ini telah pun
menikmati keuntungan 'luar biasa' sehingga mencecah 61 peratus keuntungan
bersih sebelum cukai dan kadar tol tersebut dipercayai antara yang tertinggi di
dunia.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa pemegang
konsesi yang dikuasai kerajaan itu seolah-olah 'lupa' terhadap pertambahan
kenderaan di lebuh raya setiap tahun yang menyumbangkan keuntungan berlipat
ganda itu.
"Dalam perjanjian konsesi telah menetapkan sasaran
kenderaan yang perlu menggunakan lebuh raya, apabila jumlah kenderaan
meningkat, keuntungan juga meningkat.
"Apabila kerajaan mahu menyemak semula kadar tol itu,
ia menghina rakyat di kala kerajaan dan pemegang konsesi bermewah dengan
keuntungan yang sudah terlalu tinggi," katanya kepada pemberita di ibu
pejabat PKR, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut cadangan dan alasan kenaikan tol seperti
mana yang dipertahankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Wahid Omar semalam sambil mengatakan pengguna jalan raya boleh membuat pilihan
jika kenaikan tol terlalu tinggi, Rafizi menyifatkan ia sebagai kenyataan yang
mengelirukan rakyat.
Menurutnya, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah
kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah
kenderaan yang menggunakan lebuh raya meningkat saban tahun.
"Pada 2010, Lebuhraya Plus menyaksikan peningkatan
kepada 8 peratus melibatkan 417 juta kenderaan setahun manakala Lebuhraya Maju
Expressway pada tahun sama mencatatkan kenaikan tertinggi iaitu 8.1 peratus
membabitkan 78,982 kenderaan sehari.
"Dalam keadaan kos operasi yang rendah (kurang 10
peratus setahun), keuntungan yang dinikmati merupakan antara tertinggi
berbanding industri lain," dakwanya.
Beliau menegaskan kenaikan itu juga 'tidak masuk akal'
kerana majoriti daripada pemegang konsesi dikuasai kerajaan malah syarikat
terbabit mendapat bantuan kewangan dan subsidi daripada kerajaan untuk
melaksana dan mengendalikan lebuh raya bertol.
"Saya membidas sekerasnya keangkuhan Wahid yang memberi
kata dua kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan jalan bertol jika
tidak bersetuju dengan kenaikan itu.
"Beliau (menteri) seolah-olah tidak duduk di negara
apabila tidak memahami kepayahan rakyat yang terpaksa berdepan dengan kenaikan
harga barang," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment