AJARAN SYIAH, QADIANI
SESAT
Exco Hal Ehwal Agama, Pembangunan Sumber Manusia, Khairi
Hasan berkata, ajaran Qadiani diwartakan sebagai sesat pada 4 Ogos 2011 dan
ajaran Syiah pula diwartakan sesat pada 7 Ogos 2012.
Menurutnya, keputusan itu dibuat melalui Majlis Agama Islam
Perlis (Maips) dan Adat Istiadat Melayu Perlis.
“Bagi membendung dan mengekang ajaran-ajaran yang salah
serta menyeleweng, pihak Maips melalui agensi-agensi seperti Jabatan Mufti dan
Jabatan Agama Islam Negeri turut mengadakan majlis-majlis ilmu dan pengedaran
risalah khas bagi memperjelaskan kesesatan ajaran salah berkenaan.
“Ajaran sesat seperti Syiah dan Qadiani amat berbahaya
kepada masyarakat Islam pada hari ini. Pemantauan dan pengawasan berterusan
juga dilaksanakan oleh agensi-agensi Maips dengan kerjasama pihak polis dalam
mengekang ajaran berkenaan dari memesongkan akidah umat Islam di negeri ini,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan-soalan lisan
Asmaiza Ahmad (BN-Chuping) yang bertanyakan apakah usaha kerajaan negeri untuk
membendung dan mematikan terus fahaman-fahaman yang memesongkan akidah umat
Islam, semasa Sidang Dun Perlis, semalam.
Khairi berkata, usaha untuk mengekang penularan ajaran itu
di Perlis akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dengan
pelbagai pendekatan dan aktiviti yang bersesuaian.
“Berkaitan isu ajaran Qadiani, tindakan undang-undang sudah
diambil dan langkah yang sama akan turut diambil ke atas ajaran-ajaran salah yang
lain apabila pihak kerajaan mempunyai bukti yang kukuh,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment