KENAIKAN KADAR TOL:
PKR DESAK RESPONS SEGERA PM
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini,
mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar mengeluarkan respons
segera berkaitan kadar kenaikan tol bagi meredakan kebimbangan rakyat.
Jelas Nurul Izzah, yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah
Pantai, tindakan Perdana Menteri yang bertindak berdiam diri hanya akan
menambahkan lagi kegusaran rakyat ditambah lagi dengan pelbagai berita kenaikan
sejak beberapa hari yang lalu.
“Saya mendesak agar perdana menteri mengeluarkan respons serta-merta
berkenaan kadar kenaikan tol ini.
“…Bagi saya janji yang dimungkiri ini akan membebani rakyat,
oleh itu saya berasa amat kecewa dengan tumpuan kerajaan BN yang mengukir masa
hadapan Malaysia ke arah yang malap, oleh itu perdana menteri harus keluarkan
kenyataan bagi menenangkan semula hati rakyat,” katanya kepada Sinar Harian
Online hari ini.
Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar
tol pada tahun hadapan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat
konsesi lebuh raya.
Baru-baru ini pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kerajaan terpaksa menaikkan kadar tol
kerana kerajaan membelanjakan RM400 juta sebagai pampasan kepada syarikat
konsesi lebuh raya.
Kadar kenaikan tol dijangka berlaku antara 30 sen sehingga
RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan berapa jauh.
Difahamkan, terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam
semakan semula kadar tol itu.
No comments:
Post a Comment