Showing posts with label antilompat. Show all posts
Showing posts with label antilompat. Show all posts

Sunday, August 26, 2012

UNDANG-UNDANG ANTILOMPAT WAJAR DISEMAK

TAMPARULI (Sabah): Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berpendapat adalah wajar undang-undang antilompat disemak semula untuk menghalang ahli politik daripada tukar parti selepas dipilih sebagai anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata kebebasan berpersatuan adalah dikawal oleh undang-undang, dan dengan meletak jawatan atau memaksa seseorang wakil rakyat untuk meletak jawatan apabila beliau melompat parti, ia akan membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

"Sudan tentu, ini membolehkan kebebasan untuk memilih dan ia sebenarnya membenarkan rakyat menyuarakan pandangan mereka selaras dengan prinsip demokrasi...ini tidak menjejaskan kebebasan untuk berpersatuan.

"Tetapi setakat ini tiada pihak mencadangkannya (untuk semakan) jadi kita tidak dapat bahaskan perkara ini. Ini adalah pendapat saya. Ia (undang-undang antilompat) sebenarnya tidak menyekat kebebasan untuk berpersatuan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Tun Hamdan, di sini, Ahad.

Pairin, yang juga Presiden PBS, diminta mengulas cadangan DAP Pulau Pinang bari-baru ini untuk mewujudkan undang-undang antilompat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata negeri itu bercadang mewujudkan undang-undang antilompat pada November, sebelum pilihan raya umum ke-13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya April tahun depan.

Pairin, bekas Ketua Menteri Sabah, berkata undang-undang antilompat bertujuan untuk menyedarkan rakyat, khususnya wakil rakyat akan peranan dan tanggungjawab sebenar mereka.

"Anda perlu berpegang kepada janji anda...kontrak sosial antara pengundi dan calon (untuk tidak lompat parti)," katanya dan menurutnya "kita akan lihat reaksi daripada pengamal undang-undang mengenai cadangan DAP Pulau Pinang untuk mewujudkan undang-undang antilompat".

Kerajaan negeri Sabah ketika di bawah pimpinan PBS pernah menguatkuasakan undang-undang seumpama itu pada 1980-an tetapi kemudiannya diisytiharkan sebagai ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia menghalang kebebasan individu untuk berpersatuan. Mstar/BERNAMA

Tuesday, August 21, 2012

DAP MAHU UNDANG-UNDANG ANTI LOMPAT PARTI

Post Pic
GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang merancang untuk melaksanakan undang-undang "anti lompat parti" di negeri itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kertas kerja mengenai perkara itu akan dibincangkan di mesyuarat exco negeri akan datang.

"Kita akan mendapatkan nasihat dari penasihat undang-undang negeri.

"Jika ahli-ahli exco bersetuju, (undang-undang) "anti lompat parti" akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri pada November nanti," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Pengerusi DAP Karpal Singh semalam turut menyuarakan pendirian yang sama menentang tindakan lompat parti.

Beliau berkata tindakan merupakan perkara yang serius kerana melibatkan pengkhianatan anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang dipilih rakyat.
   
"Anda tidak boleh mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan kehendak rakyat dan DAP tidak akan bertolak ansur dengan tindakan melompat parti," kata beliau.

Walau bagaimanapun katanya, mahkamah telah mengisytiharkan bahawa tindakan melompat parti tidak menyalahi undang-undang namun melanggar hak perlembagaan untuk kebebasan berpersatuan.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini "meraikan" tindakan lompat parti oleh pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Sabah selain menyifatkan wujud budaya baru dalam pendekatan politik tanah air.

Katanya latarbelakang bukan lagi menjadi kepentingan sebaliknya individu yang mampu memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

“Pada saya, tidak kira samada anda bekas ahli Umno, bekas ahli NGO, bekas ahli MCA, itu bukan masalah.

“Anda haruslah menerima budaya baru dalam kehidupan politik kita, terima agenda baru.." kata beliau dalam program ‘Borak Bersama Anwar’ Jumaat lalu.-AntaraPos.com