TAMPARULI (Sabah): Timbalan Ketua Menteri
Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berpendapat adalah wajar undang-undang
antilompat disemak semula untuk menghalang ahli politik daripada tukar parti
selepas dipilih sebagai anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata kebebasan berpersatuan adalah
dikawal oleh undang-undang, dan dengan meletak jawatan atau memaksa seseorang
wakil rakyat untuk meletak jawatan apabila beliau melompat parti, ia akan
membolehkan pilihan raya kecil diadakan.
"Sudan tentu, ini membolehkan kebebasan
untuk memilih dan ia sebenarnya membenarkan rakyat menyuarakan pandangan mereka
selaras dengan prinsip demokrasi...ini tidak menjejaskan kebebasan untuk berpersatuan.
"Tetapi setakat ini tiada pihak
mencadangkannya (untuk semakan) jadi kita tidak dapat bahaskan perkara ini. Ini
adalah pendapat saya. Ia (undang-undang antilompat) sebenarnya tidak menyekat
kebebasan untuk berpersatuan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di
majlis rumah terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Tun Hamdan,
di sini, Ahad.
Pairin, yang juga Presiden PBS, diminta
mengulas cadangan DAP Pulau Pinang bari-baru ini untuk mewujudkan undang-undang
antilompat.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
dipetik sebagai berkata negeri itu bercadang mewujudkan undang-undang
antilompat pada November, sebelum pilihan raya umum ke-13 yang perlu diadakan
selewat-lewatnya April tahun depan.
Pairin, bekas Ketua Menteri Sabah, berkata
undang-undang antilompat bertujuan untuk menyedarkan rakyat, khususnya wakil
rakyat akan peranan dan tanggungjawab sebenar mereka.
"Anda perlu berpegang kepada janji
anda...kontrak sosial antara pengundi dan calon (untuk tidak lompat
parti)," katanya dan menurutnya "kita akan lihat reaksi daripada
pengamal undang-undang mengenai cadangan DAP Pulau Pinang untuk mewujudkan
undang-undang antilompat".
Kerajaan negeri Sabah ketika di bawah pimpinan
PBS pernah menguatkuasakan undang-undang seumpama itu pada 1980-an tetapi
kemudiannya diisytiharkan sebagai ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan
kerana ia menghalang kebebasan individu untuk berpersatuan. Mstar/BERNAMA
No comments:
Post a Comment