REMBAU: Umno menerusi sayap Pemudanya akan menubuhkan kelab penyokong
parti itu di setiap kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini
bagi meraih sokongan golongan mahasiswa terhadap parti itu dan Barisan Nasional
(BN).
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata ia adalah langkah awal yang
diambil Pemuda Umno selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) 2012 baru-baru ini, yang kini membenarkan mahasiswa untuk telibat dan
memegang jawatan dalam mana-mana persatuan dan pertubuhan termasuk parti
politik.
"Jadi daripada kita menunggu mereka untuk masuk menyertai parti kita
dan BN, ada baiknya kita memainkan peranan proaktif untuk turun ke kampus dan
menubuhkan kelab penyokong Umno di setiap kampus," katanya ketika ditemui
pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri yang diadakan di
Dewan Orang Ramai Kampung Gadong, di sini, Ahad.
Katanya, Pemuda Umno akan masuk ke setiap kampus IPTA dalam masa terdekat
untuk mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa dan merangka penubuhan kelab
itu.
Katanya, selain berperanan memberi sokongan terhadap Umno dan BN,
penubuhan kelab itu juga adalah sebagai landasan untuk mahasiswa mengetengahkan
pandangan dan idea mereka kepada kerajaan.
"Kita dapat banyak pertanyaan dari mahasiswa yang mana mereka mahu
ada platform khas untuk mereka dan untuk menyahut permintaan tersebut, kita
proaktif sebab kita tidak mahu tunggu mereka untuk menjadi ahli kita, tapi kita
ke hadapan berjumpa mereka," katanya.
Katanya, walaupun sokongan mahasiswa dilihat lebih cenderung kepada
kerajaan, namun usaha sebegini perlu dilakukan bagi mengekalkan perasaan itu di
kalangan mahasiswa dan memastikan mereka terus menyokong BN. -MStar
No comments:
Post a Comment