BACHOK: Kejayaan meletakkan kedudukan
Perbankan Islam antara yang terkemuka di dunia, membuktikan pemimpin negara ini
sejak dahulu hingga sekarang benar-benar berjiwa Islam.
Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr
Awang Adek Hussin berkata pencapaian itu bukan dapat diperolehi dengan mudah
bahkan ia memerlukan pengorbanan dan usaha yang gigih.
"Ketika ia dirangka ramai yang tidak
yakin dengan keupayaan negara termasuk rakyat di negara ini sendiri dan
beberapa negara luar," katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk
di Kampung Tok Choong di sini, Ahad.
Beliau diminta mengulas kenyataan Institut
Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) yang menyasarkan peranan sistem kewangan Islam
di negara ini sama penting dengan sistem kewangan konvensional dalam tempoh 10
tahun lagi.
Perunding Kanan Pembangunan Latihan dan
Pembangunan Profesional IBFIM, Zanariah Zahari dilaporkan berkata sasaran sama
rata itu dijangka dapat dicapai melalui penghasilan tenaga pakar kewangan Islam
yang lebih ramai pada masa akan datang.
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Kelantan berkata, prestasi Perbankan Islam mengagumkan negara
Islam lain dan mendorong mereka mempelajari kejayaan Malaysia itu.
Perkembangan dalam negara pula, ia bukan
sahaja dapat menarik minat masyarakat Islam bahkan bukan Islam turut mendapat
faedah daripada sistem Perbankan Islam itu.
Katanya, antara kelebihan Perbankan Islam
ialah ia tidak berisiko tinggi apabila kadar faedahnya sudah ditetapkan lebih
awal (tidak turun naik) serta tidak membebankan pengguna. BERNAMA/Mstar
No comments:
Post a Comment