KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan negeri Selangor
memberi bekalan air percuma sejak empat tahun lepas adalah langkah yang tidak
bijak dan bukan bersifat lestari, kata seorang ahli akademik.
Prof Dr Suhaimi Abdul Talib berkata dasar itu
menyebabkan hasil bagi kerajaan negeri terus merosot yang akan sebaliknya
memberi manfaat atau berguna bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur.
"Walaupun pemberian air percuma kelihatan
baik dari segi faedah jangka pendek, tetapi dari segi jangka panjang kita tidak
mendidik orang ramai untuk menghargai air," katanya.
Dr Suhaimi, yang juga Penolong Naib Canselor
bagi Pembangunan, Pengurusan Kemudahan dan ICT Universiti Teknologi Mara
(UiTM), memberi amaran bahawa Malaysia tidak mempunyai limpahan bekalan air
yang tidak terhingga.
"Kita perlu sedar bahawa sumber-sumber
air semakin berkurangan berikutan peningkatan permintaan yang mendadak,"
katanya.
Beliau berkata negeri itu akan sampai pada
satu peringkat di mana ia tidak lagi dapat menarik air mentah dari sumber luar
dan sumber air yang baru akan perlu datang bergantung kepada bagaimana ia dapat
menguruskan sumber dalamannya sendiri dengan cara yang terbaik.
Dr Suhaimi berkata beliau menentang dasar air
percuma kerana persoalan berhubung kemampuan bukan satu isu di sini.
"Jika kita perlu membayar bil air kita
sebanyak RM40 sebulan, apa sangat dengan RM40? Anak anda belanja lebih daripada
RM40 ke atas (telefon bimbit) pra bayar. Jadi, ia bukan satu persoalan mengenai
kemampuan. Kita sepatutnya membayar bagi bil air kita," katanya.
Dr Suhaimi berkata rakyat negeri Selangor
perlu dididik supaya mengubah tanggapan mereka mengenai air dengan cara
menghargai nilai sebenar air dan ini tidak boleh dilakukan selagi mereka
mendapat bekalan air percuma.
"Rakyat negeri Selangor kena guna air
secara berhemah supaya setiap penduduk dapat mengurangkan penggunaan sebanyak
20 peratus. Ini bermakna kapasiti di empangan-empangan kita boleh meningkat 20
peratus. Ini adalah sesuatu yang kita terlepas pandang," katanya.
Beliau berkata negara-negara maju telah
menukar daripada pengurusan sumber air kepada pengurusan permintaan sambil
menambah "kita perlu mengawal rakyat yang menggunakan air."
"Hanya ada satu cara bagi kita untuk
memastikan penggunaan air secara lestari. Kita mesti mengubah tingkah laku kita
terhadap air dan hanya melalui pengubahsuaian tingkah laku, membolehkan kita
mengekang permintaan yang tidak terkawal. Sudah tentu, permintaan akan
meningkat tetapi kadar peningkatan itu boleh dikawal," kata Dr Suhaimi.
Dr Suhaimi menjelaskan jika peningkatan tarif
air tidak dapat dielakkan, katakan setiap beberapa tahun, ia perlu wajar dan
dengan persetujuan kerajaan.
"Maksudnya begini: Dalam negara ini, apa
sahaja (bayaran bagi) barangan dan khidmat yang akan dinaikkan akan memberi
gambaran buruk ke atas kerajaan. Ini kerana kita biasanya mendapat apa sahaja
dengan percuma atau melalui subsidi.
"Jadi bila anda cuba untuk mengambilnya
balik, orang ramai akan kata ini hak kami, jadi masalahnya dengan rakyat
Malaysia adalah ini..ia bukan persoalan mengenai kemampuan, kita boleh membayar
tetapi ia satu persoalan mengenai kesediaan individu itu untuk membayar,"
katanya.
Beliau berkata air yang merupakan keperluan
asas bagi setiap orang, tidak sepatutnya diberi secara percuma kerana ia
memberi makna bahawa komoditi yang berharga itu tidak mempunyai nilai. -
BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment